Sembilan tahun berlalu, ANGKASA kembali jejak 5 de Maio
Sembilan tahun berlalu, ANGKASA kembali jejak 5 de Maio
DILI: Selepas sembilan tahun, delegasi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) kembali menjejakkan kaki ke Escola Secundária Geral 5 de Maio di sini, sekolah yang menjadi antara perintis pelaksanaan koperasi sekolah di Timor-Leste.
Lawatan itu diketuai Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) merangkap Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, selepas kunjungan pertama dilakukan pada 31 Januari 2017.
Sekolah berkenaan antara institusi pendidikan terawal di negara itu yang menubuhkan koperasi sekolah hasil adaptasi model koperasi komuniti diperkenalkan ANGKASA.
Koperasi sekolah itu ditubuhkan pada Julai 2016 dan hanya kira-kira lima bulan selepas beroperasi, ia dilaporkan mampu menjana pendapatan harian antara AS$100 hingga AS$500.
Naib Presiden ANGKASA merangkap Setiausaha Agung ACO, Datuk Kamarudin Ismail berkata, pencapaian berkenaan masih segar dalam ingatannya sehingga kini.
“Saya masih teringat ketika lawatan sembilan tahun dahulu, pihak sekolah menyambut kami dengan begitu bersemangat.
“Apabila mendengar mereka mampu menjana pendapatan harian sebanyak itu, saya kagum dan ketika itulah saya yakin penyelesaian paling berkesan bagi komuniti di Timor-Leste adalah melalui koperasi berasaskan komuniti,” katanya.
Menurutnya, ketika lawatan pada 2017, ANGKASA hanya menyumbang AS$200 selain sebuah buku mengenai model koperasi sekolah yang diterbitkan Bahagian Sekolah ANGKASA.
Katanya, dengan bimbingan dan pemantauan lebih tersusun, koperasi sekolah di Timor-Leste berpotensi berkembang lebih jauh.
“Bayangkan jika kita betul-betul membimbing dan memantau rapi perkembangan mereka, saya yakin untuk mencapai pendapatan AS$1 juta juga mampu dicapai, sama seperti apa yang telah kita capai di Malaysia,” katanya.
Escola Secundária Geral 5 de Maio ditubuhkan pada 1983 dengan nama SMA Dharma Bakti sebelum menggunakan nama sekarang pada 2003 selepas Timor-Leste mencapai kemerdekaan.
Sekolah itu kini dikelolakan Kementerian Pendidikan Timor-Leste dengan tumpuan pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Sains Sosial dan Kemanusiaan.
Lawatan berkenaan turut mencerminkan usaha berterusan ANGKASA dan ACO memperluas jaringan koperasi serantau menerusi perkongsian amalan terbaik, pembangunan kapasiti serta kerjasama strategik dalam kalangan gerakan koperasi ASEAN.-SAHIH
#kw: ANGKASA, koperasi sekolah, Timor-Leste, 5 de Maio
