ASEAN iktiraf ACO suara utama gerakan koperasi serantau
ASEAN iktiraf ACO suara utama gerakan koperasi serantau
DILI: Peranan ASEAN Co-operative Organization (ACO) sebagai suara utama gerakan koperasi di rantau ini mendapat pengiktirafan ASEAN susulan usaha aktif membantu negara anggota termasuk Timor-Leste memperkukuh sektor berkenaan.
Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Ekonomi ASEAN, H.E. Satvinder Singh berkata, ACO dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menunjukkan komitmen tinggi menerusi sokongan teknikal dalam penganjuran The Dili Regional Cooperative Conference & Ministerial Dialogue 2026 (DRCCMD2026).
Beliau berkata, peranan ACO sebagai satu-satunya suara gerakan koperasi di peringkat ASEAN perlu terus diperkasakan menerusi bantuan teknikal dan kerjasama serantau.
“Tahniah kepada ACO kerana berjaya mendapat pengiktirafan ASEAN sebagai salah satu Civil Society Organization di bawah Tunjang Sosio-Budaya ASEAN.
“Kami turut berbangga melihat ACO sebagai satu-satunya suara gerakan koperasi di peringkat ASEAN yang bersungguh-sungguh membantu negara ASEAN lain memperkasakan gerakan koperasi serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bertemu Presiden ANGKASA merangkap Presiden ACO, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah bersama delegasi Malaysia pada Majlis Makan Malam Pembukaan DRCCMD2026.
Satvinder berkata, pihaknya berharap ACO terus menjuarai inisiatif pemberian bantuan teknikal kepada negara serta komuniti koperasi yang memerlukan.
DRCCMD2026 yang berlangsung pada 2 hingga 3 Oktober di Dili adalah kesinambungan ASEAN Co-operative Dialogue 2025 (ACD2025) dan menjadi platform memperjuangkan agenda koperasi dalam perbincangan ASEAN.
Agenda itu disasarkan dibawa ke mesyuarat ASEAN ketika Singapura menjadi pengerusi pada 2027, Vietnam pada 2028 dan Timor-Leste pada 2029.
ACO juga akan memastikan cadangan berkaitan dasar koperasi serantau, jaringan serta perdagangan koperasi selari dengan empat resolusi yang dicapai menerusi ACD2025, ASEAN Co-operative Networking 2025 dan ASEAN Co-operative Strategic Roundtable 2026.
Usaha itu turut mengambil kira Deklarasi Panama yang dicapai pada International Cooperative Alliance Global Assembly di Panama.
Dalam pada itu, delegasi Malaysia turut menerima sambutan istimewa daripada Secretary of State for Cooperatives (SECoop) Timor-Leste diketuai H.E. Arsenio Pereira da Silva, termasuk kejutan sambutan ulang tahun kelahiran Abdul Fattah yang ke-67.
ACO turut memainkan peranan menyelaras kerjasama badan puncak koperasi, kementerian dan agensi berkaitan di negara ASEAN selain menyediakan bantuan teknikal, padanan perniagaan serta pembangunan kapasiti koperasi.-SAHIH
#kw: ACO, ANGKASA, ASEAN, koperasi serantau
