8,000 peniaga KL perbaharui lesen dalam dua bulan
8,000 peniaga KL perbaharui lesen dalam dua bulan
PETALING JAYA: Inisiatif pembaharuan lesen perniagaan bagi tempoh sehingga tiga tahun yang diperkenalkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapat sambutan apabila 8,000 peniaga memperbaharui lesen bagi tempoh setahun dalam hanya dua bulan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, inisiatif berkenaan diperkenalkan pada Julai lalu sebagai usaha memudahkan urusan peniaga dengan kerajaan.
Menurutnya, selain 8,000 peniaga yang memperbaharui lesen bagi tempoh setahun, seramai 704 peniaga memilih tempoh dua tahun sekali gus menikmati diskaun lima peratus.
Katanya, sebanyak 1,802 peniaga pula mengambil peluang memperbaharui lesen bagi tempoh tiga tahun dengan menikmati diskaun 10 peratus.
“Inisiatif ini mungkin dilihat sebagai satu perubahan kecil, tetapi bagi mereka yang menjalankan perniagaan, perkara seperti ini sangat penting.
“Setiap proses tambahan mengambil masa yang sepatutnya boleh digunakan untuk menguruskan perniagaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-122 Dewan Perniagaan dan Industri Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI), di sini, Jumaat.
Hannah berkata, peniaga yang sudah mematuhi peraturan sewajarnya tidak perlu melalui proses sama berulang kali setiap tahun.
Menurutnya, langkah membenarkan pembaharuan lesen sehingga tiga tahun itu dapat mengurangkan urusan pentadbiran sekali gus memberi lebih ruang kepada peniaga memberi tumpuan kepada operasi perniagaan.
Sementara itu, Presiden KLSCCCI yang juga Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Datuk Ng Yih Pyng menyambut baik langkah DBKL berkenaan.
Beliau berkata, kemudahan itu bukan sahaja dapat mengurangkan proses pentadbiran berulang, malah memberi kepastian kepada komuniti perniagaan untuk membuat perancangan lebih awal.-SAHIH
#lesenperniagaan #DBKL #peniagaKL #HannahYeoh
