MALBATT mula pulang Januari 2027
MALBATT mula pulang Januari 2027
KOTA TINGGI: Semua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) yang kini menjalankan tugas di Lubnan dijangka mula dibawa pulang ke tanah air secara berperingkat bermula Januari 2027.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, proses pengunduran itu susulan penamatan mandat Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) pada penghujung tahun ini.
Menurutnya, anggota MALBATT akan pulang menerusi beberapa penerbangan, manakala aset ketenteraan yang dihantar ke Lubnan akan dibawa pulang menggunakan kapal bermula 17 Januari.
“Pasukan tentera kita akan mula balik Januari tahun depan mengikut beberapa penerbangan dan bawa semua aset kita yang dihantar menggunakan kapal bermula pada 17 Januari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Asrama Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, semua batalion yang terbabit dalam misi di Lubnan dijadualkan menamatkan penugasan masing-masing pada akhir Disember selaras dengan berakhirnya mandat berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, Malaysia bersedia mempertimbangkan penyertaan dalam mana-mana pasukan pengaman baharu di Lubnan sekiranya diminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Jika pihak PBB memutuskan untuk menubuhkan pasukan baharu atas apa jua nama sekalipun dan mereka berkehendakan kita, kita bersedia untuk terlibat, tetapi tertakluk kepada keputusan PBB.
“Kita tidak akan terlibat sekiranya ia bukan di bawah mandat PBB,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata perkara itu turut dibincangkan ketika lawatan kerjanya ke Lubnan baru-baru ini termasuk bersama rakan sejawatnya yang memaklumkan keadaan keselamatan di negara berkenaan masih bergolak serta terdedah kepada pelbagai ancaman.
Katanya, ketika ini persidangan PBB sedang berlangsung dan sebahagian besar negara yang menyertai misi pengaman terbabit turut menyuarakan pandangan supaya penamatan misi berkenaan dikaji semula.
Malaysia mula terbabit dalam misi pengaman di Lubnan sejak 2007 dalam skala kecil sebelum PBB meluluskan penugasan satu batalion penuh pada 2013.-SAHIH
#MALBATT #Lubnan #UNIFIL #MohamedKhaled
