Ainul, pulanglah… sekolah akan dibuka minggu hadapan – ibu
Ainul, pulanglah… sekolah akan dibuka minggu hadapan – ibu
JERANTUT – Keluarga seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang sejak 14 Mei lalu masih buntu selepas pelbagai usaha dilakukan untuk mengesan keberadaannya namun sehingga kini gagal menemui sebarang petunjuk.
Ibu remaja terbabit, Miss Romoh Chehmae, 37, berkata anaknya, Ainul Maisarah Abu Bakar, masih tidak dapat dihubungi dan dipercayai telah menyekat semua nombor telefon ahli keluarga.
Menurutnya, keluarga ada menerima maklumat bahawa Ainul Maisarah mungkin berada di rumah seorang kenalan wanita berusia lingkungan 30-an di Kampung Orang Asli Pasu, namun pencarian yang dilakukan di lokasi berkenaan tidak membuahkan hasil.
“Saya dan bapanya baru pulang dari sana, tetapi anak saya tiada di situ. Kawan baiknya yang dikatakan rapat dengannya juga tidak berada di rumah berkenaan.
“Kami dimaklumkan Ainul rapat dengan seorang wanita berusia kira-kira 30 tahun kira-kira sebulan dan sering datang ke rumah dan pernah membawanya keluar sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.
Miss Romoh berkata, hubungan rapat anaknya dengan wanita terbabit sebelum ini tidak menimbulkan sebarang syak wasangka kerana mereka menganggap ia sekadar hubungan persahabatan biasa.
Menurutnya, pada hari kehilangan itu, Ainul keluar ke sekolah seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku yang mencurigakan.
“Ketika itu masih dalam tempoh peperiksaan. Dia pergi ke sekolah seperti biasa dan tiada sebarang petanda pelik atau ganjil sebelum hilang.
“Ainul belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Damak dan kebiasaannya menunggang motosikal ke sekolah seperti pelajar lain,” katanya.
Beliau berkata, selepas gagal menghubungi anaknya dalam tempoh yang lama, laporan polis dibuat bagi mendapatkan bantuan pihak berkuasa untuk mengesan remaja berkenaan.
Sementara itu, keluarga mangsa merayu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Ainul Masyarah supaya tampil membantu dengan menghubungi balai polis berhampiran.
Dengan nada penuh harapan, Miss Romoh turut merayu agar anaknya segera pulang ke pangkuan keluarga.
“Ainul, pulanglah. Minggu hadapan sekolah akan dibuka semula. Mak, ayah, kakak dan adik semuanya menunggu kepulangan Ainul di rumah,” katanya.- SAHIH.
Top of Form
