FELDA Jengka 24 saksi kebangkitan semangat UMNO Jerantut
FELDA Jengka 24 saksi kebangkitan semangat UMNO Jerantut
JERANTUT: Kira-kira 500 ahli UMNO Bahagian Jerantut berhimpun pada majlis pelancaran Program Gerakan Setia UMNO di Padang Awam FELDA Jengka 24, di sini, semalam, sebagai simbol kekuatan dan kesiapsiagaan jentera parti menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Program anjuran Pemuda UMNO Bahagian Jerantut dengan kerjasama Pejabat UMNO Bahagian itu menghimpunkan ahli pelbagai peringkat termasuk Pemuda, Wanita dan Puteri selain mendapat sokongan penduduk sekitar tanah rancangan berkenaan.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, program itu menjadi medan menyatukan jentera parti di semua peringkat selain memperkukuhkan persiapan menjelang PRU.
Beliau berkata, kehadiran ratusan ahli membuktikan semangat perjuangan dalam kalangan anggota parti masih utuh dan bersedia digerakkan pada bila-bila masa.
“Hari ini semua ahli pelbagai peringkat hadir dengan penuh semangat sebagai bukti bahawa UMNO Bahagian Jerantut sudah bersedia jika PRU diadakan dalam masa terdekat.
“Selain Pemuda, turut serta Wanita dan Puteri selain penduduk sekitar FELDA Jengka 24,” katanya.
Majlis berkenaan dirasmikan bekas Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dan turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah.

Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Rozilan Salleh; Setiausaha UMNO Bahagian, Zainorin Abidin dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jerantut, Mohd Izzat Illzam Rosidi.
Program bermula kira-kira jam 3 petang dengan konvoi bermotosikal membabitkan Pemuda UMNO Bahagian Jerantut yang menjelajah sekitar FELDA Jengka 24 sebelum berkumpul di padang awam bagi acara pelancaran.
Suasana program berlangsung meriah apabila peserta yang hadir mengenakan pakaian seragam parti selain mengibarkan bendera UMNO sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan parti.

Penganjuran Gerakan Setia UMNO itu dilihat sebagai antara usaha memperkukuhkan gerak kerja akar umbi serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan ahli menjelang medan pilihan raya akan datang.-SAHIH
