Setahun bertatih, KOTEJA mula cipta langkah besar
Setahun bertatih, KOTEJA mula cipta langkah besar
TEMERLOH: Walaupun baru setahun ditubuhkan, Koperasi Teguh Jaya Temerloh (KOTEJA) Berhad sudah mula mencorakkan hala tuju tersendiri dengan tekad untuk muncul sebagai koperasi yang lebih kukuh, matang dan berdaya saing pada masa depan.
Pengerusinya, Jamil Yaakob berkata, ulang tahun pertama penubuhan KOTEJA yang disambut hari ini menjadi simbolik kepada perjalanan sebuah organisasi yang masih muda, namun sarat dengan pengalaman dan pembelajaran berharga.
Menurutnya, usia setahun ibarat seorang bayi yang baru mula mengenal dunia, masih bertatih dan belajar berdikari sebelum mampu melangkah lebih jauh.
“Alhamdulillah, hari ini genap setahun penubuhan KOTEJA Berhad. Dalam tempoh yang singkat ini, pelbagai pengalaman, cabaran dan pembelajaran telah dilalui.

“Semua itu menjadi bekalan penting untuk memastikan koperasi ini terus berkembang dengan lebih matang, kukuh dan berdaya saing pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kejayaan dan perkembangan yang dicapai sepanjang tahun pertama itu tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa komitmen serta sokongan padu daripada seluruh anggota koperasi.
Katanya, kekuatan sesebuah koperasi bukan terletak kepada individu tertentu, sebaliknya bergantung kepada semangat kebersamaan, muafakat dan kesepakatan semua ahli.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh ahli koperasi yang sentiasa bersama-sama menggerakkan KOTEJA sejak hari pertama penubuhannya.
“Jika mahu pergi cepat, pergilah sendiri. Jika mahu pergi jauh, berjalanlah bersama-sama. Prinsip itu menjadi pegangan kami dalam membangunkan koperasi ini,” katanya.
Jamil berkata, semangat saling menyokong dan bekerjasama perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan setiap perancangan dan usaha yang dilaksanakan dapat memberi manfaat kepada semua anggota.
Beliau berharap benih yang ditanam sejak penubuhan koperasi itu akan terus berkembang menjadi organisasi yang mampu menyumbang kepada kesejahteraan ahli dan masyarakat setempat.-SAHIH
