Tapir ‘gamit’ perhatian pelancong asing di Jerantut
Tapir ‘gamit’ perhatian pelancong asing di Jerantut
JERANTUT – Sekumpulan pelancong asing teruja apabila berpeluang melihat seekor tapir sedang mencari makanan di tepi Jalan Kuala Tahan–Jerantut berhampiran Kampung Gol, Tembeling Tengah, dekat sini, malam kelmarin.
Pengurus Danz Travel & Adventures, Rasdan Salleh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam ketika beliau membawa pelancong pulang ke bandar Jerantut selepas melawat Taman Negara.
Menurutnya, dari jarak kira-kira 10 meter, beliau ternampak kelibat berwarna hitam dan putih bergerak di tepi jalan sebelum menyedari ia seekor tapir yang sedang merayau mencari makanan.
“Apabila menghampiri haiwan itu, saya memaklumkan kepada pelancong mengenai spesies tapir Asia serta tabiatnya yang biasanya jinak dan tidak agresif terhadap manusia.
“Sebagai pemandu pelancong alam semula jadi, saya kerap terserempak dengan tapir dan gajah liar di sepanjang laluan Kuala Tahan, terutama pada waktu malam kerana kawasan tersebut berhampiran hutan simpan,” katanya.
Beliau berkata, kemunculan tapir itu mengundang keterujaan pelancong yang tidak melepaskan peluang merakam gambar dan video haiwan berkenaan.
“Ini menjadi pengalaman istimewa buat mereka kerana jarang berpeluang melihat tapir di habitat semula jadinya,” katanya.
Rasdan turut menjelaskan bahawa kemunculan tapir dan gajah liar di tepi jalan, khususnya di laluan menuju Kampung Pagi dan Kampung Sat, dipercayai berpunca daripada kekurangan sumber makanan di habitat asal sehingga mendorong haiwan tersebut keluar mencari makanan, termasuk memasuki kawasan pertanian penduduk.-SAHIH.
