Undi18 dijangka jadi penentu, UMNO Jerantut digesa rapatkan jurang dengan anak muda
Undi18 dijangka jadi penentu, UMNO Jerantut digesa rapatkan jurang dengan anak muda
JERANTUT – Golongan pengundi kali pertama atau Undi18 dijangka terus menjadi ‘king maker’ dan penentu utama kemenangan parti bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), sekali gus memerlukan gerak kerja lebih tersusun untuk mendekati kumpulan berkenaan.
Perkara itu antara intipati yang dibincangkan dalam Mesyuarat UMNO Cawangan Felda Kota Gelanggi, di sini, lewat petang semalam.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, jentera akar umbi perlu memainkan peranan lebih agresif untuk memastikan sokongan pengundi muda tidak beralih kepada pihak lawan seperti yang berlaku sebelum ini.
Menurutnya, UMNO tidak boleh memandang ringan pengaruh Undi18 kerana kelompok itu terbukti memberi kesan besar terhadap keputusan PRU15.
“Kita tidak boleh nafikan peranan ahli akar umbi UMNO dalam memastikan kelangsungan parti dalam kalangan anak muda.
“Program turun padang perlu diperbanyakkan dengan memberi fokus kepada anak muda yang pertama kali akan mengundi pada PRU16,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat berkenaan.
Razak turut menyatakan harapan agar undi golongan muda pada PRU akan datang dapat kembali memihak kepada UMNO sekiranya pendekatan lebih dekat dan menyeluruh dilaksanakan di peringkat cawangan serta bahagian.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua ahli UMNO Bahagian Jerantut supaya melupakan sebarang perselisihan lama demi memastikan kekuatan parti terus utuh.
Katanya, kejayaan UMNO tidak bergantung kepada individu tertentu, sebaliknya memerlukan kesepakatan seluruh ahli dan kebijaksanaan pimpinan dalam menyusun strategi.

“Kemenangan parti bukan diletakkan atas satu atau dua individu. Parti ini bukan milik pemimpin, tetapi milik semua ahli.
“Jadi menjadi tanggungjawab kita untuk memberi sokongan dan memastikan kemenangan UMNO terutama di Pahang,” katanya.-SAHIH
