“Tok Wan buat kerja, macam mana nak lawan” – Bekas Timbalan Ketua Bahagian Bersatu
“Tok Wan buat kerja, macam mana nak lawan” – Bekas Timbalan Ketua Bahagian Bersatu
CAMERON HIGHLANDS – Bekas Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Cameron Highlands mengakui kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail banyak membawa pembangunan kepada rakyat khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai dan negeri ini.
Bekas pemimpin Bersatu itu, Mohd Azmi Abdullah turut mengumumkan kembali menyertai UMNO selepas lapan tahun meninggalkan parti berkenaan.
Menurutnya, keputusan kembali kepada UMNO dibuat atas kerelaan sendiri selepas merasakan perjuangannya dalam parti sebelum ini tidak lagi memberi makna.
“Hari ini merupakan satu sejarah besar bagi diri saya selepas lapan tahun berada di luar UMNO.
“Saya lihat Tok Wan buat kerja dan tiada apa yang boleh dicacatkan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan borang keahlian UMNO di Kampung Keledek, di sini, semalam.
Beliau berkata, pelbagai cabaran terpaksa dihadapi sepanjang berada dalam parti pembangkang termasuk kekangan kewangan dan kesukaran menggerakkan organisasi di peringkat bahagian.
Katanya, beliau juga melihat banyak pembangunan dan usaha dilaksanakan kerajaan negeri di bawah pimpinan Wan Rosdy sehingga menyukarkan pihak pembangkang untuk mempertikaikan prestasi kerajaan.
“Saya lihat Menteri Besar buat kerja yang cukup baik. Jadi saya tidak nampak apa yang perlu kami lawan di Jelai ini.
“Saya mahu menyumbang kepada masyarakat melalui Bersatu tetapi saya rasa terikat dan tidak mampu berbuat demikian,” katanya.
Beliau berkata, rasa hormat terhadap kepimpinan negeri terutama Menteri Besar Pahang turut menjadi antara faktor yang mendorong beliau kembali bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Sebab itu saya rasa lebih baik saya kembali kepada asas perjuangan politik saya dahulu.
“Saya berharap kepulangan saya diterima semua pihak dan saya bertekad untuk terus membantu memperkukuhkan UMNO serta BN menjelang Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.-SAHIH
