Tindakan Tajudin digugurkan bukan krisis dalaman UMNO
KUALA NERUS – Tindakan menggugurkan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman daripada ahli Majlis Tertinggi UMNO tidak menggambarkan wujudnya krisis dalaman parti itu.
Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, UMNO tidak menghadapi sebarang krisis dalaman ketika ini dan menafikan wujudnya puak tertentu di dalam parti itu.
“Tidak ada apa-apa krisis, kalau nak krisis, ia akan jadi puak, jadi pasukan, itu baru lah krisis, ini tidak jadi puak apa-apa pun.
” Susulan itu, pelbagai spekulasi timbul termasuk yang mengaitkan wujudnya perpecahan dalam kalangan pucuk pimpinan UMNO, tidak betul,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan skrol diploma dan sijil kepada 648 graduan Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) pada Majlis Konvokesyen Kolej KETENGAH Ke-3, di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu, (UMT) di sini, semalam.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengumumkan Tajuddin digugurkan daripada ahli MT menerusi satu surat bertarikh 21 Jun pada Khamis lalu.
Jawatan tersebut telah digantikan dengan bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil yang telah mengangkat sumpah pada Jumaat.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Menteri Besar Pahang menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengerusi Koperasi Makmur Malaysia Berhad, Khairul Azam Awang yg dipilih tokoh Koperasi Pahang.
Koperator Pahang disaran cari peluang dan sasar RM 1 bilion
JERANTUT – Koperator di Pahang disarankan terus meningkatkan usaha serta komited dengan mempelbagaikan aktiviti perniagaan serta mencari peluang perniagaan berkoperasi bagi menyasarkan pendapatan sebanyak RM1 bilion tahun ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak 1,180 buah koperasi yang beroperasi dengan keanggotaan seramai 299,695 orang ahli di Pahang telah berjaya menjana pendapatan keseluruhan berjumlah RM866 juta sehingga 31 Disember 2021 tidak mustahil dicapai sasaran tersebut.
“Pahang merupakan menerima perolehan kedua tertinggi di Malaysia selepas Wilayah Persekutuan dan kerajaan negeri sangat berbangga dengan pencapaian itu hasil komited pengurusan serta ahli koperasi di Pahang.
“Suntikan dana daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bernilai RM12.84 juta menerusi Pembiayaan Tabung Modal Pusingan kepada semua koperasi amat berbaloi sehingga menampakkan kejayaan perolehan pendapatan yang tinggi tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas perasmian Hari Koperasi Negara peringkat negeri sempena Sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi di Malaysia di Jerantut hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatan Kuassa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah dan Pengarah SKM Pahang, Radiatul Fitri Dollah.
Katanya, kerajaan negeri amat menghargai usaha SKM yang memantau dan menyelia aktiviti koperator sehingga meletakkan entiti koperasi di negeri ini mencapai objektif dan aspirasi penubuhannya untuk pembangunan sektor ekonomi mampu membela rakyat berpendapatan rendah.
“Sempena sambutan 100 tahun gerakan koperasi di negara ini, kerajaan negeri bersetuju meluluskan peruntukan berjumlah RM1 juta kepada Gerakan Koperasi Pahang melibatkan sejumlah RM700,000 untuk pembiayaan pembangunan dan selebihnya, RM300,000 bagi aktiviti promosi.
“Kerajaan negeri turut meluluskan cadangan memberi hak milik tanah (kerajaan) di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara (Akta 828) kepada syarikat kerjasama dan koperasi di Felda negeri ini untuk tujuan tapak bangunan, perindustrian dan pertanian,” katanya.
Katanya, dengan adanya pemilikan tanah ini koperasi Felda mampu meningkatkan lagi jumlah eset koperasi sekali gus menjana aktiviti berasaskan industri dan pertanian di tanah rancangan berkenaan.
“Semua koperasi di negeri ini perlu memperbanyakkan aktiviti ternakan khususnya pengeluaran ayam daging secara langsung dapat menyediakan bekalan dan mengurangkan tekanan harga di pasaran setempat.
“Pembabitan dalam bidang pertanian termasuk ternakan dapat memberikan peluang pekerjaan penduduk setempat, menambah pendapatan koperasi, perolehan keuntungan dan menyediakan dividen untuk ahli khususnya dalam kalangan mereka berpendapatan rendah,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tiga beranak berpelukan dalam kejadian kereta menjunam ke dalam sungai
KUALA KETIL- Mayat tiga beranak ditemukan dalam keadaan menyayat hati dengan berpelukan di bahagian tempat duduk belakang kereta Proton Persona yang terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Jambatan Pantai Cicar, di sini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron berkata, mayat ketiga-tiga mangsa ditemui Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) pada jam 3.30 pagi tadi.
Kereta yang menjunam ke dalam sungai dinaikkan
“PPDA yang melakukan selaman dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjaya mengesan kedudukan kereta di dasar sungai yang mempunyai kedalaman lebih 5 meter.
“Bomba mengambil masa hampir 10 minit untuk menaikkan kereta terbabit dengan menggunakan kren,” katanya.
Menurut Syufaat, sebaik membuka pintu, mayat Mashitoh Ibrahim, 37 tahun, ditemui bersama dua anaknya, Mohd Ziyad Zikri Sharudin, 7 tahun, dan Mohd Ziyad Haziq, 5 tahun, berada di bahagian tempat duduk belakang.
“Kita dapati cermin pecah dan berlaku kerosakan di bahagian hadapan kereta. Jadi, saya percaya, mengikut SAR yang kita buat, mangsa iaitu ibu dan anak-anak ini, mungkin telah berada di belakang.
“Tetapi, pada keadaan itu, kita memang tidak dapat pastikan sama ada mereka bertiga masih bernyawa atau pun tidak,” tambahnya.
Kesemua mayat diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.
Semalam, polis mengesahkan tiga beranak dikhuatiri lemas selepas kereta yang dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai di jambatan itu dalam kejadian yang disedari kira-kira jam 6 petang.
Sementara itu, seorang saksi, Zulkifli Shaari, 60 tahun, berkata ketika kejadian dia sedang menangkap ikan bersama rakan lain di sungai terbabit.
Katanya, kereta itu menggelongsor lalu terjunam ke dalam air.
Dia dan rakan cuba membantu namun gagal kerana arus deras dan kereta itu tenggelam dengan cepat.
Sementara itu, adik mangsa, Mohd Asyraf Ibrahim, 34 tahun, memaklumkan sebaik mengetahui kemalangan yang menimpa kakak dan anak saudaranya pada jam 8.30 malam, dia bergegas pulang dari rumahnya di Ipoh.
Dia mengakui, mereka yang merupakan anak ketujuh dan kelapan dalam keluarga memang rapat sejak kecil dan berasa sedih kerana kini tiada lagi tempat mengadu dan bermanja.
“Memang terkejut dengan kejadian ini. Kita pun tak sangka, tetapi kita reda. Semua ini sudah tertulis (sebagai takdir),” katanya.
Sumber: Astro Awani
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KPLB peruntukan RM 10.9 juta Untuk Keusahawanan Orang Asli
IPOH – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berharap masyarakat orang asli dapat membudayakan keusahawanan secara dalam talian sekaligus dapat memperluaskan pasaran produk mereka sehingga ke seluruh negara.
Menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), KPLB memperuntukkan sebanyak RM 10.9 juta untuk Program Keusahawanan Orang Asli di Malaysia sejak 2016 sehingga 2022.
Abdul Rahman Mohamad berkata, peruntukan tersebut akan digunakan untuk melahirkan usahawan Orang Asli dengan bantuan pembinaan premis perniagaan, bantuan peralatan perniagaan dan kursus serta seminar keusahawanan.
Timbalan Menteri 1, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, peruntukan tersebut akan digunakan untuk melahirkan usahawan Orang Asli dengan bantuan pembinaan premis perniagaan, bantuan peralatan perniagaan dan kursus serta seminar keusahawanan.
Katanya, bagi menjana dan meningkat ekonomi masyarakat Orang Asli, JAKOA menganjurkan Karnival Usahawan Orang Asli 2022 (KUOA 2022) sebagai sebuah platform mengetengahkan keunikan produk-produk usahawan mereka.
“KUOA 2022 merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk memberikan peluang penglibatan yang sama kepada semua, terutamanya masyarakat Orang Asli dalam menjana dan meningkatkan ekonomi mereka, seiring dengan aspirasi kerajaan bagi memastikan warga Orang Asli seiring dengan masyarakat perdana.
“Selain itu, KUOA 2022 ini mampu mencapai matlamat utamanya untuk membantu kaum Orang Asli mempertingkatkan kemahiran komunikasi dan interaksi mereka, serta mengetengahkan bakat yang diperolehi kepada masyarakat,”katanya ketika sidang media KUOA 2022 di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini, semalam.
Abdul Rahman (tengah), KUOA 2022 membolehkan keusahawanan orang asli untuk mereka memahami kaedah perniagaan secara dalam talian.
Turut hadir Ketua Pengarah JAKOA, Sapiah Mohd Nor.
Katanya, KUOA 2022 anjuran JAKOA ini merupakan karnival edisi ke-13 yang dianjurkan untuk usahawan di kalangan masyaraka orang asli dengan 34 usahawan dipilih menyertai KUOA ini.
“Kita turut mempunyai Desamall@KPLB yang menghubungkan usahawan KPLB dan Agensi dengan portal membeli belah secara dalam talian seperti SHOPPEE dan LAZADA.
“Justeru itu, kita akan melaksanakan program rebonding keusahawanan orang asli untuk mereka memahami kaedah perniagaan secara dalam talian,”katanya.
Beliau menambah, bidang keusahawan yang dijalankan oleh masyarakat orang asli kini telah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dengan pelbagai keunikan hasil kraf dan produk masyarakat orang asli.
“Kini turut dipasarkan dengan kaedah konvensional dan serta menerusi jualan dalam talian sekaligus mampu meningkatkan pendapatan masyarakat orang asli di Malaysia,”katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
75,383 premis diperiksa mengejut di seluruh negara – KPDNHEP
JERANTUT – Sebanyak 75,383 atau 16 peratus premis telah diperiksa mengejut di seluruh negara khusus di kawasan luar bandar oleh Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan bekalan mencukupi dan tiada berlaku menyorok barangan kawalan.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, selain itu, OPS Ayam, Telur Ayam dan Minyak masak (ATM) turut dilancarkan bertujuan untuk membanteras dan menggempur aktiviti menyorok barang kawalan dan memastikan keberadaan bekalan terutama barang makanan negara sentiasa mencukupi dan mudah diperolehi oleh pengguna pada harga berpatutan pada setiap masa.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam (kanan) memeriksa bekalan minyak masak paket di sebuah premis pasar raya di Jerantut, hari ini.
“Operasi ini mulai dijalankan pada 1 Januari hingga 24 Jun tahun ini berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu sebanyak 472,036 premis, bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan OPS ATM ini lebih menyeluruh dan berkesan, tumpuan juga turut diberikan ke atas premis-premis yang berada di kawasan luar bandar.
“KPDNHEP berharap agar semua peniaga termasuk di premis yang berada di luar bandar untuk terus mematuhi semua perundangan yang dikuatkuasakan oleh pihak kementerian bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan tegas selain bekerjasama dengan Kerajaan untuk memastikan keberadaan barang keperluan terutamanya ayam, telur ayam dan minyak masak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan pemeriksaan mengejut sempena pelaksanaan OPS ATM di sebuah pasaraya dan sekitar bandar Jerantut, termasuk premis kedai runcit di Kuala Tahan, hari ini.
Katanya, pemeriksaan di bawah OPS ATM yang telah dilancarkan sejak 13 Jun 2022 lalu, khusus untuk pemeriksaan tiada aktiviti menyorok barangan bekalan, sebanyak 463 pemeriksaan telah dijalankan dan tiada kes yang dikesan serta tiada mengambil kesempatan keuntungan secara tidak munasabah dan atau pencatutan harga.
Tambahnya, KPDNHEP memberi amaran keras kepada individu dan syarikat agar tidak terbabit dan bersubahat dengan melakukan aktiviti penyelewengan dengan menyorok barang kawalan serta subsidi bagi mengelakkan dikenakan tindakan yang lebih tegas oleh pihak berkuasa.
“Sekira sabit melakukan kesalahan tersebut, individu terbabit boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.
Azman berkata, manakala di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) turut dilakukan.
“Iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan barangan kawalan dan subsidi.
“Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM 5 juta,mana yang lebih tinggi,” katanya.
Katanya, masyarakat disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan dan menyorok barang kawalan dan subsidi bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran aplikasi WhatsApp- 019-279 4317 / 019-848 8000.
“Atau boleh membuat aduan kepada Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my; Call Centre 1-800-886-800; Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my dan Ez ADU KPDNHEP,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Mokhtar tidak mahu kekurangan fizikal menyekat untuk berniaga
JERANTUT – Seorang pemborong durian di Kampung Damak, Jerantut, Abdul Mutalib Mamat, 63, tidak mahu menjadikan alasan besar sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) dan hanya menunggu belas kasihan dan bantuan orang.
Kekurangan fizikal di bahagian kaki itu tidak mematahkan semangatnya untuk berjaya dalam perniagaan sebagai pemborong buah durian di sekitar kampung tersebut.
Abdul Mutalib Mamat, 63, tidak mahu menjadikan kekurangan fizikal Orang Kurang Upaya (OKU) menyekat dia untuk berniaga.
Katanya, dia mengalami kecacatan di kaki berpunca demam panas sejak berusia 4 tahun, namun, dari keluarga susah, dia ingin terus bersemangat dan berjaya.
“Kudrat yang ada, saya digunakan sejak berusia remaja dengan menjual durian yang saya beli daripada orang kampung dan menjualnya di tepi jalan di pekan Damak, bandar Jerantut malah pernah ke bandar Temerloh.
“Setelah lama menjual di jalanan, saya berkecimpung sebagai pemborong hampir 35 tahun dalam penjualan durian, saya mampu menjalankan perniagaan dan sekarang menerima penghantaran hasil durian daripada penduduk di Damak,” katanya ditemui di Pusat Pengumpulan Hasil Durian Pekan Damak, hari ini.
Katanya, dengan berkenderaan motosikal roda tiga, dia dapat bergerak dan mengambil buah daripada pekebun yang tidak dapat menghantar raja buah itu ke pusat pengumpulan.
“Pekebun durian di sekitar sini sudah tahu dan terus menghantar kepada pusat pengumpulan untuk dijual kepada saya.
“Sekarang saya menggunakan khidmat pembantu mengangkat bakul durian untuk ditimbang dan seorang lagi membantu mengira berat timbangan durian dan membayar kepada pekebun, selain itu sebagai memberi peluang khususnya anak muda memperolehi pendapatan sampingan,” katanya.
Katanya, dia pernah pergi ke Kelantan untuk urusan mencari durian jenis terbaik untuk dibeli, orang di sana terkejut dengan keadaan fizikalnya yang mampu menjalankan urusan jual beli seperti orang lain.
Menurut Mokhtar, selain buah jenis Musang King, dia turut menjual puluhan jenis buah durian termasuk Durian Premium Kampung (DPK) seperti Mas Hijau, Aji Aziz, Seri Damak, Kulit Buaya, Kepala Gajah, Damak King (Tok Merah), Tembaga Damak, Tangkai Panjang, Buloh Poh, Damayau, Damachi, Saka Damak, Panglima, Nona Lipis, Jantung, Askar, IOI, Munthong dan sebagainya.
Lebih istimewanya, Mokhtar sudah 35 tahun sebagai peraih dan peniaga buah durian di pekan Damak dapat mengenali jenis atau klon durian dengan hanya memandang, memegang, menggoncang dan mencium kulit sudah dapat meneka baka berkenaan malahan tahu sama ada durian itu masak atau sebaliknya.
“Kebiasaanya, pemilik dusun akan membawa buah durian yang bercampur jenisnya dan kemungkinan ada yang belum masak. Sebelum ditimbang, saya akan memilih yang masak dan elok termasuk mengasingkan jenis atau klon dan buah durian premium kampung (DPK).
“Kemahiran mengenali buah ini amat penting kerana saya akan menerangkan kepada pelanggan atau penggemar keistimewaannya dari segi rasa, bau dan warna isi setiap jenis buah durian ini termasuk harga supaya memuaskan hati mereka,” katanya.
Mokhtar yang masih bujang selanjutnya menjelaskan, kebiasannya dia akan memberikan pelanggan yang datang secara berkumpulan dan rombongan merasa dan makan dahulu sebagai ‘tester’ sebelum membeli durian yang dicadangkan.
“Sambil itu, saya memberikan penerangan yang lengkap dan kemudiannya baharulah mereka memilih jenis durian yang disukai serta ditimbang untuk mengetahui harga sebelum dibawa pulang.
“Malah, saya turut memberikan jaminan kualiti buah dan sekiranya berlaku kerosakan seperti buruk dan berulat bahagian dalam, mereka boleh datang semula untuk digantikan dengan buah yang baharu,” katanya.
Katanya, dia bersyukur dengan pendapatan bermusim dianggarkan antara RM20,000 hingga RM30,000 setahun dan turut menjual buah durian bermusim lain seperti dokong, langsat dan rambutan yang turut terdapat di sekitar kampung itu.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Ketua UMNO Bahagian Lipis membidas Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed kerana tidak mengunakan saluran yang betul untuk menyampaikan maklumat kepada pemimpin.
Ketua UMNO Bahagian Lipis itu, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, UMNO sendiri ada pelbagai cara dan saluran untuk sampaikan maklumat kepada pemimpin, sepatutnya boleh berjumpa 4 mata dengan Perdana Menteri (PM) apa yang boleh disumbangkan dan membantu.
“Sedangkan nak tentukan tarikh pembubaran parlimen, kita (UMNO) berbincang dengan ‘top 5’ bersama presiden dan kepimpinan tertinggi parti.
“Perbincangan dengan top 5 juga berjalan lancar, beliau (Datuk Jazlan) jangan perlekehkan perdana menteri yang datang dari UMNO,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Satu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyifatkan Jazlan sebagai individu yang ‘laser’ dan berasa sedih terhadap tindakan bekas Ahli Parlimen Pulai tersebut.
Katanya, beliau percaya (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sedang fokus hendak menyelesaikan masalah rakyat, masalah sekuriti makanan serta harga barang yang tak menentu.
“Sewajarnya, kita sepatutnya bersama-sama menyokong dan membantu PM untuk selesaikan isu tersebut dengan memberi cadangan yang sesuai dan boleh membantu.
“Kalau tegur PM ibarat kita menegur seluruh kepimpinan UMNO kerana PM kita adalah orang UMNO, jumpa PM jika ada cadangan yang baik atau apa-apa yang tak puas hati, kita jaga ukhuwah kita sebagai keluarga UMNO,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Delegasi Malaysia diketuai Datuk Ahmad Nazlan di sebuah kilang tekstil di Faisalabad, Pakistan
Malaysia-Pakistan usaha tingkat bekalan komuniti
FAISALABAD, Pakistan - Malaysia sedang berusaha untuk mengurangkan masalah rantaian bekalan komuniti susulan pandemik Covid-19 dengan memberi keutamaan membeli komoditi itu terus dari Pakistan dan Faisalabad, kata Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Datuk Ahmad Nazlan Idris.
Beliau mengetuai delegasi usahawan Malaysia berkata, kepada komuniti perniagaan Faisalabad di Dewan Perniagaan & Perindustrian Faisalabad (FCCI) di sini hari ini.
Beliau berkata delegasi Malaysia sebelum ini melawat Pakistan Agri Expo 2022 di Lahore dan kini kami melawat Faisalabad untuk mengenal pasti pembekal baharu untuk pasaran di Malaysia.
“Delegasi Malaysia terdiri daripada wakil sektor makanan, tekstil dan perindustrian, namun kami berhasrat membeli makanan segar dan sayur-sayuran termasuk kentang, bawang dan daging beku.
"Kita juga cuba membeli bahan mentah untuk produk tekstil yang digunakan di rumah, hotel dan hospital sebagai tambahan kepada pakaian, selain itu cuba meneroka peluang pelaburan baharu,” katanya.
Katanya, ekonomi global terganggu akibat gangguan rantaian bekalan, keadaan kini kembali normal dan pihaknya sedang meneroka destinasi baharu untuk membuat pembelian dengan caj pengangkutan minimum.
Presiden FCCI, Atif Munir Sheikh berkata, Faisalabad yang terletak di tengah-tengah negara dan dihubungkan melalui hubungan udara, rel dan jalan raya yang sangat strategik.
“Faisalabad mempunyai estet perindustrian yang canggih, Kawasan Perindustrian Allama Iqbal telah diberi status Zon Ekonomi Khas untuk menawarkan cuti cukai selama sepuluh tahun kepada pelabur baharu.
“Sebanyak 65 unit perindustrian dengan FDI beroperasi dan menyumbang peranan utama dalam meningkatkan eksport negara,” katanya.
Katanya, sektor tekstil yang dibangunkan sepenuhnya, menyumbang 45 peratus bahagian dalam jumlah eksport tekstil Pakistan.
"Begitu juga, bahagiannya dalam eksport keseluruhan ialah 22 peratus manakala ia juga memenuhi 80 peratus keperluan pakaian domestik negara," katanya.
Beliau berkata bahawa FCCI mempunyai 8,000 ahli yang berasal dari 72 sektor dan perdagangan berbeza dan 28 ahli FCCI sudah menjalankan perniagaan dengan Malaysia tetapi bilangan mereka mesti dipertingkatkan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Satelit Measat-3D dilancarkan pada 5.50 pagi waktu Malaysia di Pusat Angkasa Lepas Eropah Kourou, French Guiana, Amerika Selatan. (Gambar Measat)
Isyarat pertama Measat-3D diterima, tanda pelancaran berjaya
KUALA LUMPUR: Tepat 6.41 pagi waktu Malaysia, isyarat telemetri pertama daripada Measat-3D diterima, sekali gus menandakan pelancaran satelit itu berjaya sepenuhnya.
Detik bersejarah itu diumumkan di Dewan Merdeka, Aras 4, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di mana pelancaran satelit itu disiarkan secara langsung dari Pusat Angkasa Lepas Eropah Kourou, French Guiana, Amerika Selatan pada 5.50 pagi waktu Malaysia (6.50 petang waktu tempatan 22 Jun).
Proses pemisahan pertama daripada roket pelancar Ariane-5 berlaku pada 6.19 pagi waktu Malaysia dan pemisahan kedua pada 6.34 pagi sebelum isyarat pertama diterima oleh Bumi tujuh minit kemudian.
Pelancaran satelit Measat-3D mengalami kelewatan 47 minit daripada jadual asal pada 5.03 pagi waktu Malaysia.
–
Satelit kelapan yang dianggar melibatkan kos RM1.2 bilion dengan jangka hayat 18 tahun itu dijangka mampu merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan ketersambungan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, selaras inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).
Sumber: BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
25 penagih bertempiaran lari daripada dicekup polis dan AADK Lipis berjaya diberkas
LIPIS – Dua puluh lima penagih dadah terkejut dan bertempiaran lari untuk meloloskan diri daripada dicekup oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis bersama Antidadah Kebangsaan (AADK) Lipis dalam Ops Tapis.
Serbuan tersebut dijalankan oleh 10 pegawai dan anggota BSJN dan 11 anggota AADK dan berjaya menahan semua penagih di sebuah ladang sawit Kampung Sungai Damak, Jerangsang dekat sini pada jam 10..00 pagi, semalam.
Antara yang ditahan oleh pihak polis dan AADK Lipis dalam Ops Tapis, semalam. Foto; IPD Lipis.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, ketika serbuan di ‘port penagihan’ tersebut, sebahagian penagih dalam keadaan khayal dan sebahagian lagi sedang menunggu bekalan tiba daripada salah seorang ‘tokan’.
“Dalam serbuan itu, anggota BSJN dan AADK turut menemukan sebuah beg pinggang berisi beberapa peket lutsinar yang mengandungi dadah jenis heroin dan syabu daripada seorang suspek yang berusia 29 tahun dipercayai ‘tokan’ yang membekalkan dadah kepada kumpulan lelaki yang berusia antara 25 hingga 60 tahun.
“Kedua jenis dadah ini dipercayai dibekalkan kepada kumpulan suspek berkenaan untuk tujuan melepaskan gian dan berhibur di port ladang sawit tersebut,” katanya dalam kenyataan di IPD Lipis di sini hari ini.
Katanya, kesemua suspek lelaki tempatan yang diberkas terdiri daripada seramai 22 orang lelaki Melayu, Cina (2 orang) dan seorang India berusia di antara 25 hingg 60 tahun.
“Semua yang ditahan akan diisiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
“Dadah yang dirampas, iaitu heroin seberat 25.41 gram yang bernilai RM900, manakala syabu seberat 6.40 gram berharga RM700,” katanya.
Azli menambah, suspek lelaki yang menyimpan peket dadah jenis heroin dan syabu di beg pinggang juga didapati positif dadah jenis morphine serta mempunyai rekod lampau kegiatan tersebut, iaitu sebanyak dua kes di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan satu kes di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952.
“Pihak polis dengan kerjasama AADK akan terus menggandakan usaha menggempur port aktiviti penyalahgunaan dadah serta menahan mereka yang terbabit tanpa memilih bulu berasaskan undang-undang.
“Menerusi Program Komuniti Kepolisan (Community Policing) kerap mendekati penduduk Lipis dengan menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan di samping penyampaian maklumat pencegahan dadah serta jenayah lain,” katanya.
Katanya, orang ramai diminta menyampaikan maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah di tempat masing-masing termasuk jenayah lain dengan menghubungi ke talian IPD Lipis, 09-312 2222.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!