Perwakilan berusia 76 tahun kekal setia bersama koperasi, kongsi pengalaman lebih empat dekad
Perwakilan berusia 76 tahun kekal setia bersama koperasi, kongsi pengalaman lebih empat dekad
JERANTUT – Kesedaran dalam kalangan guru muda mengenai kepentingan menyertai koperasi dan kesatuan perlu dipertingkatkan kerana kedua-duanya berperanan menjaga kebajikan serta meningkatkan kesejahteraan warga pendidik.
Perwakilan Negeri Sembilan ke Mesyuarat Agung Perwakilan Koperasi Guru-Guru Melayu Malaysia Berhad (KGMMB), Md Kahar Kasim, 76, berkata beliau masih aktif menghadiri mesyuarat dan mengikuti perkembangan koperasi yang disertainya sejak lebih 40 tahun lalu.
Bekas guru yang pernah berkhidmat di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jempol itu berkata, beliau menyertai koperasi ketika masih muda selepas melihat pelbagai manfaat yang ditawarkan kepada anggota.
“Sepanjang menjadi anggota, saya tidak pernah membuat pinjaman. Saya hanya menggunakan kemudahan koperasi untuk membeli barangan keperluan rumah melalui potongan gaji, dan ia banyak membantu ketika itu.
“Selain manfaat ekonomi, penglibatan dalam koperasi juga mengeratkan hubungan sesama guru serta memupuk semangat saling membantu dalam kalangan anggota,” katanya ketika ditemui pada mesyuarat berkenaan baru-baru ini.
Beliau menggesa guru-guru muda supaya tidak melepaskan peluang menyertai koperasi kerana banyak faedah yang boleh dinikmati sepanjang tempoh perkhidmatan.
“Banyak manfaat yang boleh diperoleh, bukan sahaja dari segi kebajikan, malah dapat memupuk semangat kekitaan dan saling membantu sesama warga pendidik.
“Tanpa disedari, kita juga dapat menyumbang kepada amal jariah menerusi skim khairat kematian yang disediakan untuk anggota,” katanya.-SAHIH.
