RM135,000 berjaya dikumpul, kejohanan golf satukan koperasi ASEAN perkasa dana pendidikan
RM135,000 berjaya dikumpul, kejohanan golf satukan koperasi ASEAN perkasa dana pendidikan
MELAKA: Yayasan ANGKASA berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM135,000 menerusi penganjuran ASEAN Co-operative Organization President Cup Charity Golf Championship 2026 (ACO-PCCGC 2026) yang menjadi platform memperkukuh kerjasama gerakan koperasi serantau di samping memperkasa pembangunan modal insan.
Kejohanan yang berlangsung dengan kerjasama ASEAN Co-operative Organization (ACO) itu dirasmikan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Zailani Siran, yang mewakili Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohd Taufiq Johari.
Program berkenaan menghimpunkan pemimpin gerakan koperasi ASEAN, delegasi Indonesia, wakil IMT-GT Joint Business Council (IMT-GT JBC), IMT-GT University Network (UNINET), Universiti Utara Malaysia (UUM), pemain industri serta rakan strategik bagi memperkukuh jaringan kerjasama rentas sempadan.
Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan Pengerusi Yayasan ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, berkata kejohanan itu bukan sekadar acara sukan, malah menjadi platform penting untuk pertukaran idea, pembentukan kerjasama baharu serta penerokaan peluang ekonomi yang mampu memperluaskan impak gerakan koperasi di peringkat ASEAN.
Beliau berkata, kejohanan amal itu turut mencerminkan komitmen sosial gerakan koperasi menerusi pengumpulan dana bagi Tabung Pendidikan Yayasan ANGKASA, sekali gus membuktikan pelaburan dalam pendidikan adalah asas penting kepada pembangunan modal insan.
Menurutnya, penyertaan delegasi antarabangsa termasuk wakil Kementerian Koperasi Indonesia (KEMENKOP), Dewan Koperasi Indonesia (DEKOPIN), IMT-GT JBC, UNINET dan UUM membuktikan keyakinan serta komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan gerakan koperasi di rantau ini.
Katanya, ACO-PCCGC 2026 menjadi manifestasi komitmen Yayasan ANGKASA dan ACO dalam memperluas jaringan strategik, memperkukuh kerjasama koperasi rentas sempadan serta menterjemahkan nilai koperasi kepada manfaat lestari dalam bidang pendidikan, kebajikan dan pembangunan masyarakat.
Beliau berkata, kejayaan penganjuran itu turut disokong pelbagai penaja, badan korporat, organisasi koperasi dan individu yang berkongsi aspirasi untuk memperkasa pendidikan serta pembangunan modal insan di peringkat serantau.-SAHIH
