Ramai gaji bawah RM3,500 pilih keluar LINDUNG 24 Jam
Ramai gaji bawah RM3,500 pilih keluar LINDUNG 24 Jam
KUALA LUMPUR: Golongan berpendapatan bawah RM3,500 menjadi kumpulan terbesar yang memilih untuk tidak menyertai Skim LINDUNG 24 Jam apabila mewakili 52 peratus daripada 1.2 juta pekerja yang membuat keputusan ‘opt-out’.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, keadaan itu menimbulkan kebimbangan berikutan sebahagian besar golongan berpendapatan rendah tidak mempunyai perlindungan insurans.
“Hampir 52 peratus daripada jumlah ini adalah mereka yang bergaji bawah RM3,500 sebagai golongan terbesar yang ‘opt-out’ untuk tidak menyertai.
“Jadi, ada sedikit kebimbangan daripada kami di PERKESO mengenai perlindungan mereka kerana kalau kita lihat golongan B40, lebih 96 peratus daripada mereka tidak mempunyai perlindungan insurans,” katanya pada sidang media LINDUNG 24 Jam, hari ini.
Menurutnya, sebanyak 53 peratus pekerja yang memilih untuk tidak menyertai skim itu pula berada di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, sekali gus menunjukkan risiko kewangan lebih tinggi dalam kalangan pekerja di kawasan bandar.
Bagaimanapun, seramai 8.5 juta atau 87.6 peratus pekerja formal kekal mencarum bagi memastikan perlindungan sosial mereka terjamin.
Mohammed Azman berkata, kadar caruman LINDUNG 24 Jam di Malaysia iaitu 0.75 peratus adalah antara yang terendah di rantau ini.
Caruman berkenaan menyediakan pelbagai perlindungan termasuk faedah hilang upaya sementara dan kekal, ganti belanja perubatan, faedah pengurusan mayat dan orang tanggungan serta kemudahan alat pemulihan dan implan.
Beliau turut menegaskan perlindungan PERKESO tidak seharusnya dibandingkan dengan insurans komersial kerana ia berfungsi sebagai jaringan perlindungan sosial terakhir kepada pekerja.
Data Bank Negara Malaysia pada 2024 menunjukkan hanya 45.5 peratus rakyat Malaysia mempunyai insurans hayat, manakala kadar penyertaan dalam kalangan B40 jauh lebih rendah iaitu sekitar empat peratus.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: PERKESO, LINDUNG 24 Jam, Mohammed Azman Aziz Mohammed, B40, pekerja formal, perlindungan sosial, opt-out, caruman
