RM9.97 juta faedah LINDUNG 24 Jam dibayar dalam tiga bulan
RM9.97 juta faedah LINDUNG 24 Jam dibayar dalam tiga bulan
KUALA LUMPUR: Hampir RM10 juta sudah dibayar Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi Skim LINDUNG 24 Jam hanya dalam tempoh tiga bulan pertama pelaksanaannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak RM9.97 juta bayaran faedah disalurkan sejak skim berkenaan dikuatkuasakan pada 1 Jun.
Menurutnya, dalam tempoh sama PERKESO menerima sebanyak 6,330 tuntutan dengan purata kira-kira 69 kes diterima setiap hari.
“Setakat 31 Ogos, kita menerima 6,330 tuntutan dan purata bayaran yang sudah dibayar adalah sekitar RM10 juta.
“Ini bayaran jangka pendek. Bayaran jangka panjang mungkin melebihi 10 kali ganda daripada bayaran jangka pendek yang perlu dibayar,” katanya pada sidang media LINDUNG 24 Jam, hari ini.
Mohammed Azman berkata, sebanyak 74 peratus daripada keseluruhan tuntutan yang diproses membabitkan pekerja berpendapatan bawah RM3,500.
Katanya, jumlah tuntutan dan bayaran dalam tempoh singkat itu membuktikan pelaksanaan LINDUNG 24 Jam adalah langkah tepat bagi memperluaskan jaringan perlindungan sosial kepada pekerja termasuk ketika berada di luar waktu bekerja.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan majikan bahawa pekerja yang sedang menerima faedah atau menjalani rawatan pemulihan mempunyai perlindungan di bawah Seksyen 53 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Menurutnya, majikan dilarang menamatkan perkhidmatan pekerja sepanjang tempoh berkenaan dan kegagalan mematuhi peruntukan itu boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil.
Beliau berkata, konsep perlindungan sosial menerusi caruman wajib bukan perkara baharu apabila Akta 4 sudah dilaksanakan sejak 1971.
Pendekatan sama turut digunakan menerusi Sistem Insurans Pekerjaan apabila pekerja dan majikan mencarum bagi menyediakan bantuan kepada individu yang kehilangan pekerjaan sehingga enam bulan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: PERKESO, LINDUNG 24 Jam, Mohammed Azman Aziz Mohammed, RM9.97 juta, tuntutan PERKESO, pekerja, perlindungan sosial, Akta 4
