‘Itulah kali terakhir saya jumpa Ainul’
‘Itulah kali terakhir saya jumpa Ainul’
PENGKALAN CHEPA: Pertemuan Kamarudin Salleh dengan anaknya, Dr Ainul Baroah, ketika mangsa pulang bercuti sempena cuti sekolah menjadi kenangan terakhir sebelum pegawai perubatan itu terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak, Selasa lalu.
Kamarudin, 69, berkata anaknya kembali ke Sarawak Ahad lalu untuk meneruskan tugas selepas menghabiskan cuti bersama keluarga.
Menurutnya, Dr Ainul Baroah, 32, seorang yang pendiam, sangat baik terhadap keluarga dan banyak membantu mereka sepanjang hayatnya.
“Dia sudah masuk dua tahun berkhidmat di Sarawak. Sebelum itu, dia bertugas kira-kira dua tahun di Tanah Merah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Baung, Pengkalan Chepa.
Kamarudin berkata, beliau menerima berita mengenai nahas berkenaan daripada besannya selepas solat Asar kira-kira jam 5 petang, Selasa.
Katanya, ketika itu keluarga masih belum mendapat pengesahan mengenai keadaan anaknya sebelum menantunya menghubunginya pada petang sama memaklumkan Dr Ainul Baroah disahkan meninggal dunia.
Menurutnya, sepanjang bertugas di Sarawak, tugas anaknya turut membabitkan pemantauan pesakit di beberapa kawasan termasuk Baram.
Katanya, tugas berkenaan memerlukan mangsa menggunakan helikopter kira-kira sekali seminggu bagi sampai ke kawasan penempatan yang sukar dihubungi melalui jalan darat.
Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak, Selasa.
Menurut CAAM, helikopter itu sedang menjalankan operasi Flying Doctor Service (FDS) ketika kejadian.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan seorang juruterbang serta membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan dan dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Dr Ainul Baroah, Kamarudin Salleh, nahas helikopter, Ulu Baram, Long Lellang, Flying Doctor Service, CAAM
