JPJ tahan kenderaan ubah suai ekstrem, tak lepas selagi tak kembali asal
JPJ tahan kenderaan ubah suai ekstrem, tak lepas selagi tak kembali asal
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan berkompromi dengan pemilik kenderaan yang melakukan pengubahsuaian ekstrem apabila kenderaan disita hanya akan dilepaskan selepas tindakan undang-undang diambil dan ia dikembalikan kepada spesifikasi asal.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, ketetapan itu termasuk terhadap kenderaan yang menggunakan sistem suspensi udara serta pelbagai pengubahsuaian lain yang tidak mematuhi peraturan.
Menurutnya, ada pemilik sanggup membelanjakan antara RM15,000 hingga RM25,000 bagi memasang sistem suspensi udara, malah terdapat kenderaan yang diubah suai dengan kos mencecah RM150,000.
“Kos berbeza-beza. Kalau kita tengok kos ‘air suspension’ tadi antara RM15,000 hingga RM25,000 dan ada kenderaan yang diubah suai sehingga RM150,000,” katanya di JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Selasa.
Beliau berkata, Ops Ekstrem yang dijalankan dari jam 1 hingga 5 pagi di sekitar ibu negara, terutama Jalan Raja Laut, memeriksa 156 kenderaan dengan 97 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.
Secara keseluruhan, sebanyak 485 notis dikeluarkan dengan kesalahan tertinggi membabitkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi iaitu 97 kes.
Ia diikuti kesalahan ekzos sebanyak 77 kes, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (66), tiada perlindungan insurans (57), cermin gelap (44) dan pengubahsuaian bentuk kenderaan (11).
Aedy Fadly berkata, trend penggunaan suspensi udara dipercayai mula dibawa masuk dari Borneo ke ibu negara sebelum menjadi ikutan terutama dalam kalangan golongan muda berusia lingkungan 20-an hingga 30-an.
Katanya, susulan aduan awam mengenai gangguan ketenteraman pada waktu malam, Ops Ekstrem akan diperluaskan ke seluruh negara bermula minggu ini.
JPJ juga akan membawa isu pengubahsuaian itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi mengekang kemasukan komponen haram dan mengambil tindakan terhadap bengkel tidak berdaftar.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: JPJ, Ops Ekstrem, Datuk Aedy Fadly Ramli, ubah suai kenderaan, suspensi udara, air suspension, Jalan Raja Laut, komponen haram
