SULAM semai semangat prihatin mahasiswa terhadap komuniti
Foto : Peserta program SULAM “Menyulam Budi Menganyam Bakti 2026” bergambar kenangan di hadapan Masjid Al-Hidayah, Bandar Behrang.
SULAM semai semangat prihatin mahasiswa terhadap komuniti
TANJONG MALIM: – Program SULAM: Menyulam Budi Menganyam Bakti 2026 berjaya memupuk semangat keprihatinan dan kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa menerusi penglibatan mereka dalam aktiviti kemasyarakatan bersama komuniti setempat.
Program di bawah Service Learning Malaysia – University For Society (SULAM) itu dianjurkan Kursus Elektif Penulisan Kreatif dan Deskriptif (BSK3103), Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Penasihat program, Prof Madya Dr Ghazali Din, berkata program yang berlangsung di Masjid Al-Hidayah, Bandar Behrang 2020 itu disertai 80 peserta, manakala lebih 200 peserta lagi menyertai slot ‘Mari Bersama Kita Membaca’ di pekarangan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, baru-baru ini.
Katanya, menerusi program itu, mahasiswa berpeluang menyumbang khidmat kepada komuniti khususnya pihak kariah Masjid Al-Hidayah dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Behrang.
“Program ini bermatlamat meningkatkan pembangunan sahsiah dan minda pelajar menerusi penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan, selain mewujudkan jaringan kerjasama dengan komuniti setempat.
“Sepanjang program, peserta membantu pihak masjid membersihkan kawasan termasuk mencuci bebola tanah dan kolam ikan, mengecat batu serta gazebo, membersihkan dewan terbuka dan mengubah suai pelbagai barangan lama,” katanya.
Sementara itu, aktiviti di fakulti pula membabitkan sesi membaca bersama pelajar UPSI semester dua selain memberikan bimbingan bagi membantu meningkatkan pencapaian akademik.
Pemangku Pengerusi Masjid Al-Hidayah, Shamuri Agus, berkata mahasiswa UPSI sering mengadakan program khidmat masyarakat di masjid berkenaan yang secara tidak langsung mengukuhkan hubungan ukhuwah dan kerjasama dengan komuniti.
“Program SULAM sangat memberi manfaat kepada komuniti Bandar Behrang 2020 dan kami sentiasa mengalu-alukan aktiviti sebegini untuk diteruskan pada semester akan datang,” katanya.
Setiausaha program, Angelina Jawai Anak Franklyn Lunyai, berkata program berkenaan menjadi platform kepada mahasiswa untuk memupuk semangat kesukarelawanan, kerjasama dan keprihatinan terhadap masyarakat.
“Melalui aktiviti khidmat masyarakat dan gotong-royong, program ini mengeratkan hubungan antara mahasiswa dengan komuniti setempat, selain mengukuhkan fungsi masjid sebagai pusat pembangunan masyarakat.
“Selain memberi manfaat kepada penduduk, program ini turut membentuk sahsiah peserta dengan menerapkan nilai tanggungjawab, hormat-menghormati dan semangat bermuafakat.
“Secara keseluruhan, program ini wajar diteruskan kerana mampu melahirkan individu bukan sahaja berilmu, malah berakhlak mulia serta bersedia berbakti kepada masyarakat,” katanya.-SAHIH.
