Urusan pindah milik tanah boleh siap sehari
Urusan pindah milik tanah boleh siap sehari
KUALA LUMPUR: Urusan pendaftaran pindah milik tanah sebenarnya boleh diselesaikan dalam tempoh sehari sekiranya semua dokumen dan syarat ditetapkan dipenuhi pemohon.
Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, tempoh berkenaan dikira bermula jam 8 pagi pada hari dokumen dikemukakan sehingga jam 8 pagi keesokan harinya.
Menurutnya, pelaksanaan proses itu sudah berjaya dicapai di banyak negeri bagi memudahkan urusan masyarakat berkaitan pemilikan tanah.
“Bagaimanapun, dengan syarat tanah mestilah bebas daripada kaveat, duti setem sudah dibayar, cukai tanah dan cukai strata dijelaskan.
“Semua mesti lengkap. Daftar dan siap. Tiga perkara sahaja iaitu semak, pastikan lengkap dan daftar,” katanya ketika menjadi tetamu Program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, Isnin.
Turut menjadi tetamu program berkenaan ialah Setiausaha Bahagian Tanah, Ukur dan Geospatial (BTUG), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Muhammad Yasir Yahya.
Sementara itu, Muhammad Yasir berkata, tahap pemahaman masyarakat mengenai urusan tanah masih menjadi cabaran kerana ada individu yang mungkin hanya berurusan dengan pejabat tanah sekali sepanjang hayat.
Katanya, pejabat daerah menjadi platform paling hampir dengan masyarakat dan memainkan peranan sebagai perantara untuk menyampaikan pendidikan serta maklumat berkaitan urusan tanah.
Menurut beliau, usaha memberi kefahaman turut diperkasakan menerusi Hari Tanah Negara yang dilaksanakan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Katanya, program itu menyediakan klinik dan saluran penerangan kepada orang ramai, selain pendekatan sama turut dilaksanakan di peringkat negeri bagi membantu masyarakat mendapatkan maklumat secara terus.
Dalam pada itu, Mohd Fauzi menasihati waris supaya tidak bertangguh dalam menguruskan pembahagian harta pusaka kecil.
Menurutnya, kelewatan berbuat demikian boleh menyebabkan berlakunya kematian berlapis dalam kalangan waris, sekali gus meningkatkan jumlah pihak berkepentingan dan berpotensi mencetuskan pertikaian dalam keluarga.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: urusan tanah, pindah milik tanah, harta pusaka kecil, JKPTG, Mohd Fauzi Mohd Yatim, Muhammad Yasir Yahya, pejabat tanah, Hari Tanah Negara, kaveat, cukai tanah
