Malaysia-Thailand perkukuh kerjasama keselamatan sempadan
Malaysia-Thailand perkukuh kerjasama keselamatan sempadan
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Thailand terus memperkukuh kerjasama keselamatan serta pembangunan kawasan sempadan, termasuk usaha membanteras kegiatan penyeludupan dan menyelaras pembinaan pagar antara kedua-dua negara.
Perkara itu antara yang dibincangkan sepanjang lawatan kerja dua hari Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow ke Malaysia.
Dalam lawatan berkenaan, Sihasak mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan kedua-dua pihak memberi tumpuan kepada langkah menyelaraskan kerjasama antara agensi berkaitan di Malaysia dan Thailand.
Antara aspek utama dibincangkan ialah keselamatan dan pembangunan kawasan sempadan serta usaha memperkukuh pencegahan aktiviti penyeludupan yang membabitkan kedua-dua negara jiran ASEAN itu.
Malaysia dan Thailand turut membincangkan cadangan menyelaraskan pembinaan pagar sempadan.
Thailand merancang membina pagar di kawasan yang masih belum dipagar oleh Malaysia bagi mengelakkan berlaku pertindihan pembinaan serta memastikan kawalan sempadan dapat dilaksanakan secara lebih teratur.
Selain itu, perkembangan di Selatan Thailand turut menjadi antara perkara diberi perhatian.
Malaysia yang diberikan kepercayaan membantu memudah cara proses dialog damai di wilayah berkenaan akan terus menyokong usaha untuk memajukan rundingan ke arah mencapai hasil lebih positif.
Sementara itu, Sihasak berlepas pulang selepas menamatkan lawatan kerja dua hari ke Malaysia.
Beliau berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada jam 8.55 malam dengan menaiki penerbangan komersial ke Bangkok.
Sihasak diiringi Ketua Istiadat di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rozainor Ramli ketika berada di KLIA.
Beliau tiba di Malaysia pada Ahad bagi lawatan kerja dua hari yang merupakan sebahagian daripada pertukaran lawatan peringkat tinggi secara berkala antara Malaysia dan Thailand.-SAHIH
#kw: Malaysia Thailand, Sihasak Phuangketkeow, Mohamad Hasan, keselamatan sempadan, pagar sempadan, penyeludupan, Selatan Thailand, dialog damai, KLIA, ASEAN
