Bekas pengasuh didakwa aniaya kanak-kanak dua tahun
Bekas pengasuh didakwa aniaya kanak-kanak dua tahun
TEMERLOH: Seorang bekas pengasuh taska mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menganiaya kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sehingga mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan emosi, bulan lalu.
Nor Ain Ashikin Husin, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.
Tertuduh yang memakai pakaian biasa berwarna hitam hadir ke mahkamah ditemani suaminya.
Mengikut pertuduhan, Nor Ain Ashikin sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak terbabit didakwa menganiayainya dengan cara yang mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan emosi.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah Taska, Jalan Keramat Indah Mentakab, kira-kira jam 9.45 pagi pada 11 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zaffar yang menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Pihak pendakwaan turut memohon syarat tambahan dikenakan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan.
Peguam Mohd Falihin Kamil Mohamed Sazali yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah, memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dan tidak pernah cuba melarikan diri.
Menurutnya, tertuduh sudah berkahwin dan menetap di Temerloh bersama suami serta ibunya selain tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.
Beliau berkata, tertuduh sebelum ini memperoleh pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan, namun kini tidak lagi bekerja dan ahli keluarganya hanya sempat mengumpulkan RM5,000 untuk tujuan jaminan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain memerintahkannya tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan serta melaporkan diri di balai polis terdekat sekali setiap bulan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Oktober 2026.-SAHIH
#kw: bekas pengasuh taska, aniaya kanak-kanak, kanak-kanak dua tahun, Mahkamah Sesyen Temerloh, Nor Ain Ashikin Husin, Jamaludin Mat, Taska Nur Barakah, Mentakab, Akta Kanak-Kanak 2001
