Murid boleh ‘coding’, tetapi lemah penaakulan Matematik
Murid boleh ‘coding’, tetapi lemah penaakulan Matematik
KUALA LUMPUR: Murid Malaysia dilihat mampu menguasai kemahiran penyelesaian masalah komputasional termasuk pengekodan dan pemodelan, namun masih berdepan kelemahan dalam menjelaskan alasan serta penaakulan ketika menjawab soalan Matematik.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr Rusmini Ku Ahmad berkata, dapatan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 mengenal pasti kelemahan utama murid dalam mata pelajaran itu membabitkan pemahaman konsep asas dan kemahiran penaakulan.
Menurutnya, walaupun pencapaian murid Malaysia dalam domain baharu penyelesaian masalah komputasional menunjukkan prestasi baik, keupayaan itu tidak mempunyai korelasi secara langsung dengan penguasaan Matematik.
“Mereka bagus dalam ‘problem solving’ komputasional di mana mereka boleh membuat ‘coding’, mereka boleh membuat ‘modeling’ kerana pentaksiran ini dibuat secara dalam talian.
“Tetapi kita ada isu. Ia tidak ada korelasi dengan Matematik.
“Jadi, murid-murid kita ada isu, ada cabaran dari segi mereka ini tidak boleh menjawab soalan-soalan yang ‘reasoning’ ataupun penaakulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘PISA 2025: Pencapaian Malaysia, Cabaran dan Hala Tuju’ terbitan Bernama TV, Rabu.
Dr Rusmini berkata, bagi menangani masalah berkenaan dari peringkat awal persekolahan hingga sekolah menengah, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah menghasilkan Modul Miskonsepsi dalam Matematik.
Katanya, pendekatan itu turut disokong menerusi penyelarasan kepakaran guru bagi membantu mengenal pasti dan membetulkan salah faham murid terhadap konsep Matematik.
Selain itu, KPM turut memasukkan Pelan Transformasi Pendidikan Matematik dalam Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035.
Pelan berkenaan merangkumi latihan semula guru, pengukuhan kepimpinan sekolah serta khidmat nasihat kumpulan pakar bagi memantapkan kaedah pengajaran dan pemahaman konsep Matematik dalam kalangan murid.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Matematik, PISA 2025, Kementerian Pendidikan, Dr Rusmini Ku Ahmad, penaakulan, Modul Miskonsepsi, Pelan Transformasi Pendidikan Matematik
