Pasaran hartanah kekal teguh, transaksi cecah RM105.12 bilion
Pasaran hartanah kekal teguh, transaksi cecah RM105.12 bilion
KAJANG: Pasaran harta tanah negara terus menunjukkan daya tahan apabila merekodkan 187,320 transaksi bernilai RM105.12 bilion bagi separuh pertama 2026.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi itu disokong pertumbuhan ekonomi yang kukuh apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat enam peratus pada suku kedua tahun ini.
Menurutnya, meskipun berlaku sedikit pelarasan marginal, pasaran harta tanah kekal teguh hasil aktiviti transaksi dan pergerakan harga yang stabil selain kegiatan pembinaan yang aktif.
“Meskipun terdapat sedikit pelarasan marginal, pasaran harta tanah kekal teguh hasil daripada aktiviti transaksi dan pergerakan harga yang stabil serta aktiviti pembinaan yang aktif.
“Kestabilan ini dipengaruhi dasar monetari negara apabila kadar OPR dikekalkan pada paras 2.75 peratus, sekali gus memberi keyakinan kepada pembiaya dan pembeli,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2026 di sini, Khamis.
Pada separuh pertama tahun ini, sebanyak 27,832 unit kediaman baharu dilancarkan dengan prestasi jualan 16.6 peratus.
Subsektor kediaman terus mendominasi pasaran dengan 110,998 transaksi bernilai RM47.11 bilion, manakala segmen harta tanah industri berkembang 3.8 peratus kepada 3,932 transaksi bernilai RM14.78 bilion.
Pertumbuhan sektor perkilangan sebanyak 7.3 peratus pada suku kedua selain perkembangan industri elektrik dan elektronik (E&E) berteknologi tinggi berorientasikan kecerdasan buatan (AI) serta pelaburan pusat data turut meningkatkan permintaan terhadap kilang dan tanah industri.
Bagaimanapun, kerajaan terus memberi perhatian terhadap isu kediaman siap dibina yang belum terjual apabila 33,094 unit bernilai RM17.78 bilion direkodkan pada separuh pertama 2026 berbanding 30,471 unit bernilai RM17.73 bilion pada 2025.
Amir Hamzah berkata, pemaju dan pihak berkuasa tempatan perlu memanfaatkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) bagi menilai permintaan sebenar sebelum melancarkan projek baharu.
Katanya, momentum positif pasaran buruh termasuk kadar pengangguran rendah dan peningkatan gaji dijangka terus menyokong permintaan sektor hartanah pada separuh kedua tahun ini.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw hartanah, Amir Hamzah Azizan, transaksi hartanah, NAPIC, KDNK, OPR, kediaman tidak terjual
