Tandas pasar raya jadi lokasi rakam mangsa, penjawat awam dicekup
Tandas pasar raya jadi lokasi rakam mangsa, penjawat awam dicekup
MARAN: Tindakan seorang penjawat awam yang dipercayai merakam video dan gambar seorang lelaki secara senyap ketika berada di dalam tandas sebuah pasar raya di Bandar Jengka membawa padah apabila dia ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, polis menerima laporan daripada mangsa berusia 22 tahun pada 7 September lalu yang mendakwa terdapat video dirinya dirakam individu tidak dikenali ketika berada di dalam tandas Pasar Raya Mydin Bandar Jengka.
Menurutnya, susulan laporan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran menjalankan siasatan sebelum melancarkan operasi pada 8 September.
“Hasil operasi berkenaan, polis menahan seorang lelaki tempatan berketurunan Melayu berusia 39 tahun yang juga penjawat awam di hadapan sebuah restoran nasi kandar di Mydin Jengka.
“Semasa soal siasat awal, suspek mengaku merakam video dan gambar pengadu ketika berada di dalam tandas pasar raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Wong berkata, suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan lanjut.
Katanya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek yang dipercayai digunakan untuk merakam video dan mengambil gambar pengadu.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan mengaibkan kehormatan seseorang dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan berkaitan bahan lucah.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu perjalanan siasatan polis.
“Polis memandang serius sebarang bentuk ugutan, keganasan atau perbuatan yang boleh mengancam keselamatan awam dan akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.-SAHIH
#kw penjawat awam, tandas, Mydin Bandar Jengka, rakam video, Wong Kim Wai, IPD Maran, Seksyen 509, Seksyen 292
