Tebuk al-Quran jadi dakwah kreatif tarik minat anak muda dekati al-Quran
Foto : Ustaz Munhameer (tengah) bersama pelajar Pusat Pengajian Tahfiz Ibnu Abbas, BTHO tempat beliau mengajar dengan berkongsi ilmu al-Quran.
Tebuk al-Quran jadi dakwah kreatif tarik minat anak muda dekati al-Quran
CHERAS – Trend “Tebuk al-Quran” yang tular di media sosial khususnya TikTok bukan sekadar hiburan semata-mata, malah dilihat sebagai satu bentuk dakwah kreatif yang berjaya menarik minat masyarakat mendekati al-Quran.
Walaupun menerima pelbagai pandangan daripada orang ramai, kandungan berkenaan dianggap memberi inspirasi kepada ramai individu untuk membaca, menghafal dan memahami al-Quran, selain mengetengahkan kemampuan golongan muda menghafaz ayat suci dengan lancar.
Imam Rawatib Surau As-Siddiq (SAS) Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor, Ustaz Munhameer Yusuf berkata, pendekatan dakwah menerusi media sosial kini semakin penting kerana mampu mendekati masyarakat dengan cara lebih santai dan segar.
Menurutnya, kandungan “Tebuk al-Quran” yang dihasilkannya memaparkan cabaran spontan menyambung bacaan ayat al-Quran selepas beliau membaca sebahagian ayat daripada mana-mana surah.
“Jika dahulu dakwah lebih tertumpu di masjid atau surau, kini media sosial membuka ruang lebih luas untuk menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat terutama generasi muda,” katanya.
Ustaz Munhameer berkata, beliau mula mempelajari al-Quran sejak berusia lapan tahun di sebuah pusat tahfiz di Kota Kinabalu, Sabah sebelum menyambung pengajian di Kedah dan Johor.
Katanya, beliau berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran dan memperoleh Syahadah al-Quran pada tahun 2008 sebelum melengkapkan pengajian Daurah Hadis selama lapan tahun yang tamat pada 2018.
Tambah beliau, latar belakang pendidikan agama itu menjadi asas penting dalam menghasilkan kandungan dakwah yang lebih dekat dengan masyarakat.
“Tujuan utama saya bukan untuk menunjuk hebat kerana ramai lagi individu lebih baik di luar sana, tetapi saya bersyukur dapat berkongsi ilmu al-Quran melalui dakwah digital,” katanya.
Ustaz Munhameer yang dikenali di TikTok sebagai “Abang Tamanna” berkata, idea menghasilkan kandungan Tebuk al-Quran tercetus secara spontan ketika beliau membuat panggilan video kepada adiknya untuk menyambung bacaan Surah Hud.
Rakaman tersebut dimuat naik ke TikTok dan menerima hampir enam juta tontonan sehingga mendorong beliau meneruskan konsep sama dengan melibatkan pelajar tahfiz serta orang awam.
Menurutnya, pendekatan santai melalui kuiz Islamik dan cabaran spontan lebih mudah diterima terutama dalam kalangan remaja kerana mesej agama disampaikan secara ringan tetapi bermanfaat.
Beliau turut berkongsi pengalaman ditemu bual bersama Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi pada 7 Mac lalu di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk, Perak.
Dalam sesi itu, beliau mengadakan Tebuk al-Quran bersama Ahmad Zahid yang berjaya menyambung bacaan Surah Yasin dengan baik.
“Beliau turut memberi galakan supaya saya terus memartabatkan al-Quran dan menarik minat anak muda mendekati nilai Islam,” katanya.-SAHIH.
