UMNO kembali diyakini, ratusan bekas ahli BERSATU sertai semula parti
Foto : Sebahagian ahli BERSATU yang menyerahkan borang keahlian UMNO baru-baru ini.
UMNO kembali diyakini, ratusan bekas ahli BERSATU sertai semula parti
LIPIS – Kira-kira 500 hingga 600 bekas ahli UMNO dilaporkan kembali menyertai parti itu setakat ini, sekali gus dilihat sebagai petanda positif bahawa UMNO kembali diyakini rakyat dalam usaha memperkukuhkan semula kedudukan politik dan negara.
Setiausaha Politik Menteri Besar Pahang, Mohd Farid Mohd Nor berkata, ramai bekas ahli sebelum ini meninggalkan UMNO atas pelbagai faktor, selain ada yang sudah lama tidak diberi perhatian atau dorongan untuk kembali aktif dalam perjuangan politik.
Menurutnya, kepimpinan parti menegaskan usaha membawa pulang bekas ahli perlu dilakukan secara lebih proaktif bukan sahaja di peringkat nasional, malah melibatkan bahagian dan cawangan.
“Kalau kita bergerak secara proaktif, mereka mungkin akan kembali bersama-sama dengan UMNO,” katanya ketika menerima borang penyertaan semula 50 bekas ahli BERSATU di Kampung Keledek, Ahad lalu.
Beliau berkata, jumlah bekas ahli yang kembali menyertai UMNO dijangka terus meningkat berdasarkan sambutan diterima setakat ini.
Katanya, beliau sendiri menerima panggilan daripada beberapa individu yang pernah menjadi ahli UMNO kira-kira 20 hingga 30 tahun lalu sebelum menyertai parti pembangkang, namun kini mahu kembali bersama parti itu.
“Ada yang bertanya bagaimana mahu mendapatkan semula borang keahlian UMNO. Ini satu petanda positif,” katanya.
Menurut beliau, antara faktor utama bekas ahli mahu kembali adalah kerana mereka melihat UMNO mempunyai pengalaman luas dalam mentadbir negara serta menangani pelbagai krisis sebelum ini.
Katanya, sejak UMNO tidak lagi menjadi tunjang kerajaan pada 2018, ramai merasakan negara memerlukan semula kepimpinan berpengalaman bagi memulihkan kestabilan.
“UMNO pernah menguruskan pelbagai krisis termasuk krisis ekonomi dan krisis minyak. Hari ini negara juga berdepan pelbagai cabaran dan rakyat mahukan kestabilan serta keamanan,” katanya.-SAHIH.
