Lelaki berpura beli emas ditahan bersama seorang lelaki warga emas
Lelaki berpura beli emas ditahan bersama seorang lelaki warga emas
JERANTUT – Seorang lelaki yang berpura-pura mahu membeli barang kemas di sebuah kedai emas di bandar ini pada 30 April lalu berjaya ditahan bersama seorang lagi lelaki dalam serbuan di Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Mohd Arshad Ayob berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut menahan kedua-dua suspek masing-masing berusia 23 dan 63 tahun di Jalan Raja Laut serta Jalan Tuanku Abdul Rahman, Chow Kit.
Katanya, kedua-dua lelaki tempatan itu disyaki terlibat dalam kes curi di sebuah kedai emas yang dilaporkan pada 11 Mei lalu.
“Hasil siasatan lanjut terhadap kedua-dua suspek, polis berjaya merampas gelang emas dan cincin pelbagai saiz yang dilaporkan dicuri sebelum ini dengan anggaran nilai RM26,000 mengikut harga pasaran.
“Turut dirampas sebuah motosikal, telefon bimbit, kad bank dan pakaian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, semakan rekod mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati kedua-dua suspek negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, 30 April lalu, seorang lelaki dikatakan berpura-pura mahu membeli cincin pertunangan sebelum memperdaya jurujual wanita berusia 26 tahun di premis berkenaan.
Menurut Mohd Arshad, jurujual terbabit kemudian mengeluarkan beberapa barang kemas untuk dipilih suspek termasuk gelang emas, cincin emas dan cincin perak.
“Sejurus jurujual berkenaan berpaling ke belakang untuk mengambil barangan lain seperti diminta lelaki itu, suspek dipercayai mengambil kesempatan melarikan semua barang kemas yang berada di atas meja pameran sebelum melarikan diri keluar dari premis,.
“Polis mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga kedua-dua suspek ditahan, ” katanya.
