Lagu patriotik bakar semangat, Syakira muncul juara
Lagu patriotik bakar semangat, Syakira muncul juara
JERANTUT: Persembahan vokal bertenaga dan gaya tersendiri membawa tuah buat Syakira Mustapha, 25, apabila dinobatkan sebagai juara Pertandingan Nyanyian Solo Lagu Patriotik Sempena Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Jerantut Ke-69, malam tadi.

Syakira menewaskan sembilan peserta pada peringkat akhir selepas mengharungi saringan membabitkan 37 peserta dalam pertandingan anjuran Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Jerantut (PKKDJ) bersama Majlis Daerah Jerantut (MDJ) di Taman I-City Jerantut.
Anak jati Jerantut itu memukau juri menerusi lagu Bahtera Merdeka dan Ku Bersuara, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM700.
Syakira menewaskan sembilan peserta pada peringkat akhir selepas mengharungi saringan membabitkan 37 peserta dalam pertandingan anjuran Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Jerantut (PKKDJ) bersama Majlis Daerah Jerantut (MDJ) di Taman I-City Jerantut.
Lebih menarik, kemenangan itu hadir selepas Syakira sebelum ini muncul juara pertandingan Karaoke Four Countries, dengan menewaskan 12 peserta dari Thailand, Indonesia, Singapura dan Malaysia yang dianjurkan sebuah platform media sosial terkenal.
Tempat kedua dimenangi Harun Mohd Noor dari Temerloh yang membawakan lagu Payung Mahkota dan Rayuan Maut, sekali gus menerima RM500.
Ita Suriani Sabri dari Felda Bukit Tajau pula menduduki tempat ketiga dan membawa pulang RM300 selepas mempersembahkan lagu Pahlawanku dan Segalanya Pasti.
Syakira turut dinobatkan sebagai Vokal Terbaik, manakala Qiesya Qistina Ibrahim menerima pengiktirafan Persembahan Terbaik.
Namun, bukan hanya aksi peserta muda mencuri perhatian apabila dua peserta warga emas turut membuktikan usia bukan penghalang untuk terus berkarya.
Mereka ialah Rosman Marman, 76, dari Jenderak Utara, Temerloh dan Abu Hanipah Said, 71, dari Felda Gelanggi Dua.
Rosman berkata, kejadian terjatuh ke dalam parit bersama motosikal sehingga menyebabkan pakaiannya basah tidak mematahkan semangatnya untuk hadir menyertai pertandingan berkenaan.
“Selepas lebih empat dekad, saya masih berminat menyertai pertandingan seperti ini, terutama yang berkonsepkan patriotik dan inilah peluang saya kembali menyertai pertandingan.
“Pemilihan lagu patriotik amat bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan kerana pertandingan ini bukan sekadar mencari bakat, tetapi turut menyemarakkan semangat cintakan negara,” katanya.

Abu Hanipah yang lebih dikenali sebagai Pak Chu berkata, dia memberanikan diri menyertai pertandingan itu selepas dipelawa rakan.
Sementara itu, Abu Hanipah yang lebih dikenali sebagai Pak Chu berkata, dia memberanikan diri menyertai pertandingan itu selepas dipelawa rakan.
Katanya, pada awalnya dia berasa janggal untuk beraksi di pentas kerana faktor usia, namun minat terhadap nyanyian mengatasi perasaan berkenaan.
“Mulanya ada rasa janggal juga kerana sudah berusia, tetapi apabila tahu ada pertandingan lagu patriotik, semangat saya untuk menyertai terus membara,” katanya.
Beliau turut menggalakkan golongan berusia supaya tidak malu menyertai aktiviti kemasyarakatan, khususnya program berkaitan seni dan patriotik.-SAHIH.
