Pemandu e-panggilan didakwa cuba bunuh warga emas guna petrol
Pemandu e-panggilan didakwa cuba bunuh warga emas guna petrol
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu e-panggilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cuba membunuh seorang wanita warga emas dengan membakarnya menggunakan petrol awal bulan ini.
Tertuduh, Ang Kam Tong, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, Ang didakwa cuba membunuh Gan Siew Teen, 62, dengan membakar mangsa menggunakan petrol sehingga menyebabkan kecederaan serius.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis menjual nombor ramalan di Taman Pusat Kepong, Sentul, pada jam 7.51 pagi, 9 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shakila Mohd Shariff tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dengan alasan kesalahan yang didakwa dilakukan adalah serius.
Pendakwaan turut memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh didakwa pernah cuba melarikan diri sebelum ini.
Bagaimanapun, peguam Lee Keng Fatt yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin.
Menurut peguam itu, tertuduh mempunyai pendapatan tidak tetap, masih belum berkahwin dan mempunyai adik-beradik.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudian menetapkan 25 September depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen berkaitan pendakwaan.-SAHIH
Sumber: BERNAMA
#kw: pemandu e-panggilan, cuba bunuh, warga emas, petrol, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Ang Kam Tong, Gan Siew Teen, Seksyen 307 Kanun Keseksaan
