RM728.5 juta perkasa kebajikan warga emas, OKU dan pesakit kronik
RM728.5 juta perkasa kebajikan warga emas, OKU dan pesakit kronik
KUCHING: Kerajaan terus memperkukuh jaringan perlindungan sosial apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membelanjakan kira-kira RM728.5 juta bagi membantu warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit kronik di seluruh negara setakat Jun lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi Bantuan Warga Emas (BWE) serta Bantuan Penjagaan OKU Terlantar dan Pesakit Kronik Terlantar.
Menurutnya, sehingga Jun 2026, seramai 42,036 penerima di seluruh negara menerima bantuan penjagaan berkenaan dengan jumlah perbelanjaan melebihi RM119.5 juta.
“Dalam usaha meringankan beban keluarga, JKM turut menyediakan Bantuan Penjagaan OKU Terlantar, Pesakit Kronik Terlantar dan Pesakit Kronik Tidak Terlantar kepada mereka yang memenuhi syarat.
“Sehingga Jun 2026, sebanyak 42,036 penerima di seluruh negara menerima bantuan ini dengan jumlah perbelanjaan lebih RM119.5 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sokongan Penjaga Insan Sejahtera (SPeKTRUM) Peringkat Negeri Sarawak, di sini, Ahad.
Nancy berkata, dalam tempoh sama, BWE disalurkan kepada 170,133 penerima di seluruh negara membabitkan peruntukan melebihi RM609 juta.
Katanya, di Sarawak sahaja, seramai 23,034 warga emas menerima manfaat BWE dengan peruntukan lebih RM94.3 juta, manakala lebih RM10.4 juta diagihkan kepada 3,235 penerima bantuan penjagaan OKU terlantar dan pesakit kronik.
Menurut beliau, usaha memperkukuh ekosistem penjagaan negara perlu turut memberi perhatian kepada kebajikan penjaga yang menguruskan golongan uzur dan terlantar.
Katanya, tanggungjawab penjagaan tidak seharusnya dipikul keluarga semata-mata tanpa sokongan berterusan daripada kerajaan, komuniti dan pihak berkaitan.
Sehubungan itu, menerusi SPeKTRUM, penjaga diberikan latihan, sokongan psikososial serta motivasi supaya mampu memberikan penjagaan terbaik kepada ahli keluarga tanpa mengabaikan kesihatan dan kesejahteraan diri sendiri.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw: JKM, Nancy Shukri, warga emas, OKU, pesakit kronik, Bantuan Warga Emas, SPeKTRUM, Sarawak, kebajikan, penjaga
