Laluan baharu Everest elak Khumbu Icefall berbahaya
Laluan baharu Everest elak Khumbu Icefall berbahaya
KUALA LUMPUR: Pendaki Gunung Everest bakal mempunyai laluan alternatif ke Kem 1 yang berpotensi mengurangkan risiko apabila laluan baharu memintas sepenuhnya kawasan Khumbu Icefall yang terkenal berbahaya kini dalam proses akhir pembangunan.
Pengerusi Himalaya Expeditions, Bikram Pandey berkata, Laluan Sundare Sherpa–Marc Batard itu menghala dari kawasan Everest Base Camp menuju ke puncak Nuptse Ridge sebelum menyediakan pendekatan alternatif ke Kem 1.
Menurutnya, laluan berkenaan membolehkan pendaki mengelak Khumbu Icefall sepanjang kira-kira empat kilometer yang mempunyai rekahan, lubang serta permukaan glasier yang sentiasa berubah.
“Sebanyak 70 peratus kerja sudah disiapkan termasuk pemasangan tali tetap, skru ais, piton dan kelengkapan lain.
“Marc akan menyelesaikannya tahun ini dan kerja sedang berjalan. Kami akan menganjurkan ekspedisi bersama tahun hadapan, bermula musim bunga 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pembentangan khas sempena sambutan ‘Three Decades of Malaysia Everest Legacy’, di sini, Ahad.
Majlis itu turut dihadiri Datuk M Magendran yang mencipta sejarah bersama Datuk N Mohanadas apabila menjadi rakyat Malaysia pertama berjaya menawan puncak Everest pada 23 Mei 1997.
Pandey berkata, laluan baharu itu diterokai, dikaji dan dilengkapi secara progresif sejak 2021 oleh pendaki dari Perancis dan Nepal termasuk alpinis terkenal Perancis, Marc Batard, Speed Kaji Sherpa dan Passang Nuru Sherpa.
Menurutnya, Khumbu Icefall kekal antara bahagian paling berbahaya dalam pendakian Everest kerana struktur glasier berkenaan sentiasa bergerak dan berubah.
“Khumbu Icefall sentiasa bergerak. Ia seperti sungai glasier yang bergerak dan sangat berbahaya.
“Keadaan pada waktu pagi boleh berbeza berbanding petang. Tiada siapa dapat meramalkan perubahan itu dan ramai sudah terkorban di sana,” katanya.
Sejak Everest pertama kali ditawan Sir Edmund Hillary dan Tenzing Norgay pada 1953, seramai 48 individu dilaporkan terkorban di Khumbu Icefall dengan kebanyakannya terdiri daripada Sherpa.
Pandey berkata, laluan baharu itu tidak menghapuskan semua risiko pendakian altitud tinggi, namun mampu mengurangkan pendedahan kepada ketidakstabilan Khumbu Icefall.
Katanya, laluan berkenaan turut berpotensi memberi manfaat kepada ekspedisi menuju Everest, Lhotse dan Nuptse.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Gunung Everest, Khumbu Icefall, Bikram Pandey, Himalaya Expeditions, Marc Batard, Sherpa, Nuptse Ridge, Kem 1, pendakian Everest, Himalaya
