167,000 pelajar antarabangsa jana RM20 bilion setahun
167,000 pelajar antarabangsa jana RM20 bilion setahun
KUALA TERENGGANU: Sektor pendidikan antarabangsa terus menjadi antara penyumbang penting kepada ekonomi negara apabila kira-kira 167,000 pelajar asing yang sedang mengikuti pengajian di Malaysia dianggarkan menjana sekitar RM20 bilion setahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Novie Tajuddin berkata, setiap pelajar antarabangsa secara purata membelanjakan kira-kira RM10,000 sebulan merangkumi yuran pengajian dan kos sara hidup sepanjang berada di negara ini.
Menurutnya, kehadiran pelajar antarabangsa bukan sahaja memberi manfaat kepada institusi pendidikan tinggi, malah turut membantu menggerakkan ekonomi setempat menerusi perbelanjaan dalam sektor makanan, penginapan, pengangkutan dan perkhidmatan.
“Kedatangan pelajar antarabangsa ini juga memberikan kekuatan ekonomi kepada negara kita.
“Kami membuat sedikit kajian dan mendapati apabila pelajar antarabangsa datang ke Malaysia, mereka berbelanja secara purata kira-kira RM10,000 sebulan termasuk kos sara hidup dan yuran pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Malaysian Cultural Discovery Community Immersion Program, di sini.
Novie berkata, Malaysia kini diiktiraf sebagai antara 14 destinasi pendidikan tinggi utama dunia sekali gus membuktikan negara semakin mendapat perhatian sebagai pilihan pelajar luar negara melanjutkan pengajian.
Katanya, jumlah pelajar antarabangsa di Malaysia turut meningkat kira-kira 23 peratus dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Menurut beliau, lima negara utama yang menyumbang jumlah pelajar antarabangsa terbesar ketika ini ialah China, Indonesia, Bangladesh, India dan Pakistan.
Beliau berkata, sebahagian besar daripada mereka mengikuti pengajian peringkat pascasiswazah di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara.
Dalam pada itu, Malaysia menyasarkan untuk menarik 500,000 pelajar antarabangsa menjelang 2035 seperti digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia bagi tempoh 10 tahun.
Novie berkata sasaran itu dijangka terus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa selain memberi limpahan ekonomi lebih besar kepada negara dan komuniti setempat.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: EMGS, Novie Tajuddin, pelajar antarabangsa, pendidikan tinggi, RM20 bilion, ekonomi negara, Kuala Terengganu, pelajar asing, universiti, Malaysia 2035
