Media aset penting kerajaan, bantu perkukuh pembangunan Pahang
Media aset penting kerajaan, bantu perkukuh pembangunan Pahang
KUANTAN – Media memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat, membentuk persepsi positif serta mengetengahkan pencapaian kerajaan negeri kepada masyarakat, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, media perlu dilihat sebagai aset penting oleh setiap pemimpin kerana peranannya bukan sahaja menyampaikan berita, malah membantu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan.
Menurutnya, kejayaan Pahang mengurangkan hutang negeri, mengekalkan kutipan hasil melebihi RM1 bilion selama beberapa tahun berturut-turut serta mencatat prestasi ekonomi yang baik turut mendapat manfaat daripada peranan media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
“Media ini penting. Seorang pemimpin, sama ada dia suka atau tidak suka, media mesti menjadi aset kerana peranan media ini cukup besar,” katanya ketika berucap di Majlis Malam Media di sini, hari ini.
Beliau berkata, walaupun terdapat laporan media yang mengkritik atau menegur kerajaan negeri, perkara itu perlu diterima sebagai sebahagian daripada peranan media dalam memastikan pentadbiran sentiasa bertambah baik.
Katanya, teguran dan kritikan membina tidak seharusnya menjejaskan hubungan antara kerajaan negeri dengan pengamal media, sebaliknya menjadi ruang untuk penambahbaikan demi kepentingan rakyat.
“Saya sedikit pun tidak berkecil hati kerana perkara ini biasa. Sebagai media, kalau melaporkan satu hala sahaja, bosan juga. Sekali-sekala media perlu menegur kerajaan dan bagi saya, tidak ada masalah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima pandangan, cadangan dan teguran daripada pelbagai pihak, termasuk media, bagi memastikan setiap dasar serta keputusan yang dibuat memberi manfaat kepada rakyat.
Menurutnya, tidak semua perkara dapat diketahui oleh pemimpin pada setiap masa, justeru maklum balas daripada pihak luar amat penting untuk membantu kerajaan mengenal pasti isu dan mencari penyelesaian yang sesuai.
Dalam pada itu, beliau berkata Pahang mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai sebuah negeri yang maju, khususnya melalui pengukuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur dan sektor pelancongan.
Katanya, kestabilan politik, perpaduan kaum serta hubungan baik antara kerajaan dengan rakyat perlu terus dipelihara bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lancar.
Beliau turut menggalakkan rakyat merebut peluang ekonomi yang bakal muncul melalui pembangunan rangkaian pengangkutan dan kemudahan infrastruktur, termasuk dengan mengusahakan inap desa serta perniagaan bagi memenuhi keperluan pelancong.
Menurutnya, keindahan pulau, kawasan tanah tinggi, kepelbagaian destinasi pelancongan serta keunikan makanan tempatan merupakan antara kelebihan Pahang yang mampu menarik lebih ramai pengunjung.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan terus mencari kaedah untuk meningkatkan hasil tanpa membebankan rakyat melalui kenaikan cukai, selain memastikan pembangunan yang dirancang dapat memberikan pulangan kepada masyarakat.
Beliau merakamkan penghargaan kepada pengamal media atas kerjasama dan sokongan yang diberikan serta berharap hubungan baik itu dapat diteruskan bagi bersama-sama membawa Pahang ke tahap pembangunan yang lebih tinggi.-SAHIH.
