Turun padang, pelajar dakwah timba pengalaman bersama warga emas
Foto : Dr Mariam bersama pelajar UIS melakukan gimit penyerahan sumbangan barangan keperluan asas harian kepada Pengerusi PJMM, Azman Rasman (tiga dari kanan).
Turun padang, pelajar dakwah timba pengalaman bersama warga emas
SEMENYIH – Pengalaman turun padang bersama masyarakat memberi peluang kepada pelajar mendalami realiti kehidupan sebenar, selain memahami dengan lebih jelas ilmu yang dipelajari secara teori di bilik kuliah.
Pensyarah Universiti Islam Selangor (UIS), Prof Madya Dr Mariam Abdul Majid, berkata pelajar khususnya dalam bidang dakwah perlu diberi pendedahan lapangan bagi meningkatkan pengetahuan dan kefahaman terhadap subjek Psikologi Dakwah serta Dakwah dan Pembangunan Masyarakat.
Katanya, 11 pelajar Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Sumber Insan UIS menyertai program Santuni Kasih Warga Emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, pada 23 Ogos lalu.
“Saya mencadangkan pelajar berada di lapangan kerana mereka dapat melihat dan berdepan sendiri dengan situasi sebenar dalam kalangan masyarakat.
“Pengalaman ini memberi ilmu bermanfaat untuk dipraktikkan apabila mereka berdepan komuniti pada masa akan datang,” katanya yang juga penasihat program.
Menurutnya, program berkenaan turut mengajar pelajar cara berinteraksi dengan warga emas, mengendalikan aktiviti bersesuaian, berurusan dengan pihak luar, menyusun jadual dan menepati masa.
Sementara itu, Pengarah program, Mohd Nazri Manahing, berkata program dengan kerjasama Program Ilmu Putra Mahkota itu bertujuan memberi impak positif menerusi perkongsian ilmu berkaitan tujuan kehidupan, kepentingan sabar dan amalan harian.
Katanya, Dr Mariam turut menyampaikan ceramah bertajuk Tujuan Hidup Manusia yang menarik perhatian warga emas di pusat berkenaan.
“Program ini memberi pendedahan kepada kami mengenai tanggungjawab sosial serta nilai kemanusiaan dalam membantu golongan warga emas yang memerlukan perhatian dan sokongan,” katanya. -SAHIH.
