OKU 71 tahun tetap semarakkan Merdeka
Foto : Noor Izam Ahmad (kanan) dan isterinya, Sharifah Mas ‘Aza Mohamad (kiri) bersama bapa saudaranya, Bidin.
OKU 71 tahun tetap semarakkan Merdeka
JERANTUT – Kecacatan pada kedua-dua kaki sejak dilahirkan tidak menghalang warga emas Orang Kurang Upaya (OKU), Bidin Ariffin, 71, untuk turut membantu menghias halaman rumah dengan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69.
Bidin yang hanya mampu mengesot tetap bersemangat membantu anak saudaranya, Noor Izam Ahmad, 53, dan isterinya, Sharifah Mas ‘Aza Mohamad, 45, menceriakan kediaman mereka di Felda Sungai Tekam, di sini.
Hampir 600 Jalur Gemilang dipasang sejak dua minggu lalu, selain dihiasi banting bergambar rumah lama peneroka, bunga, peralatan tradisional serta gambar negarawan dan pembangunan negara.
Noor Izam berkata, usaha itu dilakukan bagi menyahut seruan pihak pengurusan Felda dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk menyemarakkan semangat patriotik serta kecintaan kepada negara.
“Apabila bapa saudara mengetahui kami mahu menghias halaman, dia juga mahu membantu. Dia perlu dipapah keluar dan dinaikkan ke kerusi roda sebelum dapat bersama kami memasang bendera.
“Biasanya pada waktu petang, dia akan mengesot di luar rumah untuk membantu kerja menghias,” katanya ketika ditemui di Felda Sungai Tekam, di sini.
Menurutnya, walaupun hanya sempat bersekolah beberapa hari ketika kecil kerana kecacatan, Bidin memahami erti kemerdekaan dan tidak pernah ketinggalan membantu setiap kali sambutan Hari Kebangsaan.
Sementara itu, Sharifah Mas ‘Aza berkata, kira-kira RM500 dibelanjakan untuk membeli bendera, menghasilkan banting, mengecat dan menyediakan bahan hiasan.
Katanya, konsep hiasan turut mengetengahkan sejarah serta budaya peneroka Felda yang sudah menetap di kawasan itu sejak kira-kira 60 tahun lalu.-SAHIH.
