Jerantut raih dua anugerah Pesta Pelita Raya Pahang 2026
Jerantut raih dua anugerah Pesta Pelita Raya Pahang 2026
JERANTUT – Majlis Daerah Jerantut (MDJ) mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih dua kemenangan kategori pada Majlis Penghargaan Pesta Pelita Raya Pahang 2026.
Dua anugerah yang dimenangi ialah Anugerah Pengisian Program Terbaik dan Anugerah Undian Daerah Paling Popular.
Bagi kategori Undian Daerah Paling Popular, daerah Jerantut berjaya memperoleh sebanyak 69,000 tanda suka menerusi platform media sosial rasmi Tourism Pahang iaitu Facebook, Instagram dan TikTok.
Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man
Jurucakap MDJ dalam kenyataannya memaklumkan kemenangan itu menjadi penghargaan besar buat seluruh warga Jerantut serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan program berkenaan.
Menurut kenyataan itu, penghargaan turut diberikan kepada seluruh warga Jerantut yang memberikan sokongan dan undian sehingga daerah tersebut berjaya mempertahankan kemenangan kategori undian awam buat kali kedua.
“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus memperkukuhkan semangat perpaduan, kreativiti dan kerjasama dalam mempromosikan daerah Jerantut sebagai destinasi pelancongan menarik di negeri Pahang,” katanya.-SAHIH.
