Sultan Pahang, Tengku Mahkota ‘sporting’ sertai sukan rakyat, Kampung Bantal gamat
Sultan Pahang, Tengku Mahkota ‘sporting’ sertai sukan rakyat, Kampung Bantal gamat
JERANTUT: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat memeriahkan program sukan rakyat di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, di sini, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda turut diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Program sukan rakyat yang berlangsung dalam suasana meriah itu berjaya menghimpunkan penduduk setempat serta pelbagai agensi dalam semangat muafakat dan kekeluargaan.
Paduka Baginda berkenan menyaksikan pelbagai acara tradisional dan santai antaranya pertandingan tarik tali, acara belon kasih sayang serta aktiviti mengutip gula-gula yang disediakan khas untuk kanak-kanak.
Suasana bertambah gamat apabila Paduka Baginda bersama Tengku Mahkota Pahang turut berkenan menyertai acara baling belon kasih sayang, sekali gus mencuit hati rakyat yang hadir apabila melihat Baginda beramah mesra serta melayani kemeriahan program bersama penduduk.
Menurut kenyataan Kesultanan Pahang, penganjuran program itu bukan sahaja bertujuan menceriakan penduduk kampung, malah menjadi platform mengeratkan hubungan antara institusi diraja dengan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman.
Acara tarik tali turut mencuri tumpuan apabila pasukan Majlis Kesultanan Pahang muncul naib juara selepas tewas tipis kepada pasukan Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut.
Kehadiran Paduka Baginda dan Tengku Mahkota Pahang disambut penuh keterujaan oleh penduduk yang tidak melepaskan peluang untuk bertemu serta merakam gambar sebagai kenangan.
Program sukan rakyat itu turut menjadi antara pengisian sepanjang keberangkatan rasmi Paduka Baginda ke Ulu Tembeling yang bermula hari ini hingga 17 Mei ini.
Keberangkatan berkenaan mencerminkan keprihatinan serta komitmen berterusan institusi Kesultanan Pahang dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian tanpa mengira lokasi dan latar belakang masyarakat.-SAHIH
Gambar :KESULTANAN PAHANG
