Sultan Pahang berangkat santuni rakyat pedalaman Ulu Tembeling
Sultan Pahang berangkat santuni rakyat pedalaman Ulu Tembeling
JERANTUT: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat ke Kampung Bantal, Ulu Tembeling, hari ini bagi memulakan keberangkatan rasmi selama tiga hari ke kawasan pedalaman berkenaan.
Keberangkatan Paduka Baginda yang bermula hari ini hingga 17 Mei ini mencerminkan keprihatinan serta kasih sayang Baginda terhadap rakyat, khususnya masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman negeri ini.
Paduka Baginda turut diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sepanjang berada di Kampung Bantal, Paduka Baginda berkenan menyantuni rakyat yang hadir selain mengurniakan sumbangan kepada kanak-kanak di sekitar kampung berkenaan.
Keberangkatan Baginda turut disambut penuh meriah oleh penduduk setempat yang teruja serta bersyukur atas kesudian Baginda meluangkan masa untuk bertemu dan mendekati rakyat di kawasan terbabit.
Menurut kenyataan Kesultanan Pahang, antara pengisian program sepanjang keberangkatan itu termasuk menunaikan solat Jumaat bersama penduduk di Kampung Orang Asli Sungai Kuching, majlis gotong-royong, program saringan kesihatan Institut Jantung Negara (IJN) serta program ziarah kasih di Kampung Gusai.
Program yang diatur bertujuan memperkukuh hubungan institusi diraja bersama rakyat, selain membolehkan Baginda melihat sendiri keperluan masyarakat pedalaman melalui pendekatan turun padang.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang ke Ulu Tembeling turut disifatkan sebagai lambang komitmen berterusan institusi Kesultanan Pahang dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian tanpa mengira lokasi dan latar belakang masyarakat.
Kenyataan itu turut memaklumkan, keberangkatan berkenaan diharap dapat memberi manfaat serta menyemarakkan semangat perpaduan dan kesejahteraan rakyat di kawasan pedalaman.-SAHIH
Gambar KESULTANAN PAHANG
