Gelanggang futsal RM200,000 siap dinaik taraf, Felda Jengka 24 kini bercahaya
Gelanggang futsal RM200,000 siap dinaik taraf, Felda Jengka 24 kini bercahaya
JERANTUT : Penduduk Felda Jengka 24 kini boleh menarik nafas lega apabila gelanggang futsal di kawasan itu siap dinaik taraf dengan kos hampir RM200,000, lengkap dengan pemasangan sistem lampu baharu.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, kemudahan berkenaan dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk khususnya golongan belia yang aktif dalam sukan.
Menurutnya, sebelum ini gelanggang futsal itu sering digunakan, namun kekurangan pencahayaan menyebabkan aktiviti sukan hanya dapat dijalankan pada waktu tertentu selain menimbulkan kebimbangan dari segi keselamatan.
“Dengan adanya lampu baharu ini, gelanggang futsal Felda Jengka 24 kini lebih terang dan selamat untuk digunakan pada waktu malam.
“Kemudahan ini bukan sahaja untuk belia, malah sesuai digunakan oleh semua lapisan masyarakat termasuk bagi penganjuran kejohanan kecil, program riadah dan aktiviti komuniti,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan gelanggang berkenaan, hari ini.
Razak berkata, penambahbaikan itu juga dilihat mampu menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk selain menjadi platform menyatukan masyarakat melalui aktiviti sukan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Felda serta semua pihak yang terbabit dalam merealisasikan projek berkenaan.
Katanya, kemudahan itu juga dapat mengurangkan risiko aktiviti tidak sihat dalam kalangan belia kerana mereka mempunyai tempat yang lebih sesuai untuk beriadah dan bersukan.
Sementara itu, penduduk menyambut baik usaha menaik taraf gelanggang futsal terbabit dan berharap lebih banyak kemudahan awam dapat dibangunkan pada masa akan datang bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti peneroka.
Majlis penyerahan itu turut dihadiri penduduk setempat serta wakil pengurusan yang meninjau kemudahan baharu berkenaan.-SAHIH
