Empat pelajar antarabangsa UPM ‘jadi pengantin’, alami adat kahwin Melayu
Empat pelajar antarabangsa UPM ‘jadi pengantin’, alami adat kahwin Melayu
TEMERLOH: Peluang merasai sendiri adat perkahwinan tradisional Melayu menjadi pengalaman unik dan sukar dilupakan buat empat pelajar antarabangsa Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila diraikan sebagai pasangan pengantin dalam program Jom Masuk Kampung di Homestay Desa Murni, di sini, hari ini.
Program silang budaya anjuran Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SBE) UPM dengan kerjasama Homestay Desa Murni itu menampilkan Avazov Alisher dari Uzbekistan dipadankan dengan Dou Meng Jie, 20, dari China, manakala Muhammad Ruzaini Rajimi, 22, dari Brunei digandingkan bersama Wiwin Setyawati dari Indonesia.
Majlis dimulakan dengan perarakan empat pasangan pengantin yang tampil segak dan anggun mengenakan busana tradisional Melayu, diiringi paluan kompang yang memeriahkan suasana.
Selepas itu, pasangan pengantin diraikan di atas pelamin menerusi adat merenjis sebelum diteruskan dengan acara makan beradat yang melengkapkan lagi tradisi perkahwinan Melayu.

Alisher berkata, dia pada awalnya menyangka hanya akan hadir sebagai tetamu, namun terkejut apabila dipilih untuk menjadi sebahagian daripada upacara tersebut.
“Ini pengalaman pertama dan sangat luar biasa bagi saya. Kami agak malu pada mulanya, tetapi sangat teruja kerana dapat merasai sendiri budaya perkahwinan Melayu,” katanya.
Wiwin pula berkata, dia kagum melihat keunikan adat Melayu terutama perarakan kompang serta persembahan silat yang disifatkannya menarik.
“Sangat cantik apabila pengantin berjalan dengan anggun diiringi kompang, selain persembahan silat yang sangat keren,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Dekan (Prasiswazah) SBE UPM, Profesor Madya Dr Haslinda Hashim berkata, program selama tiga hari itu membabitkan 36 pelajar dari sembilan negara termasuk Malaysia.
Menurutnya, program berkenaan bertujuan mendedahkan peserta kepada budaya dan nilai murni masyarakat Malaysia seperti semangat kekeluargaan, kerjasama komuniti serta silaturahim.

“Pelajar turut didedahkan dengan permainan tradisional, makanan tradisi dan kehidupan masyarakat kampung yang mungkin sukar diperoleh di negara lain,” katanya.
Beliau berkata, antara pengisian program termasuk menginap bersama keluarga angkat, melawat ladang sawit dan perusahaan ikan sangkar selain demonstrasi masakan tradisional serta pengalaman menyertai majlis perkahwinan Melayu.-SAHIH
