Hadiah ketuhar buat isteri jadi kenangan manis wartawan Astro AWANI
Hadiah ketuhar buat isteri jadi kenangan manis wartawan Astro AWANI
KUANTAN: “Alhamdulillah, rezeki tidak pernah salah alamat. Ketuhar hadiah cabutan bertuah ini buat isteri.”
Itu antara kata-kata Allahyarham Mohd Zalani Md Atan, 66, ketika memenangi hadiah cabutan bertuah pada Majlis Malam Media Pahang, yang kini menjadi kenangan selepas wartawan senior Astro AWANI itu meninggal dunia, semalam.
Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di sini, petang semalam selepas mengadu sakit kepala sebelum rebah.
Rakannya, Norehan Salleh, 38, berkata Allahyarham yang mesra disapa Abang Z sememangnya menyimpan hasrat untuk memenangi hadiah cabutan bertuah sejak sekian lama.
Katanya, mereka pernah bersaing untuk mendapatkan hadiah cabutan bertuah pada majlis sama lebih sedekad lalu.
“Apabila akhirnya Abang Z berjaya membawa pulang hadiah pada malam itu, saya hanya mampu tersenyum dan berkata, ‘Akhirnya, Abang Z dapat juga hadiah!’
“Ketika itu, arwah cukup gembira kerana dapat membawa pulang ketuhar untuk dihadiahkan kepada isterinya,” katanya.
Menurut Norehan, dia turut mengeluarkan semula kamera yang sudah lama tidak digunakan bagi merakam detik kegembiraan Allahyarham menerima hadiah berkenaan.
Sementara itu, isteri Allahyarham, Suaibatul Aslmiah Abu Bakar, 52, berkata suaminya mengalami demam dan kesukaran berjalan sejak beberapa hari lalu.
Katanya, keadaan Allahyarham agak lemah pada pagi semalam, namun masih mampu berbual dan mempunyai selera makan.
“Dalam dua tiga hari ini, arwah nampak biasa sahaja. Tiada pesanan atau nasihat yang ditinggalkan kepada saya dan anak-anak.
“Arwah ada darah tinggi dan kencing manis,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, semalam.
Allahyarham meninggalkan empat anak, termasuk tiga hasil perkahwinan bersama Suaibatul dan seorang daripada perkahwinan terdahulu.
Dua anak mereka masing-masing berusia 26 dan 28 tahun serta sudah bekerja, manakala anak bongsu berusia 15 tahun masih bersekolah di Tingkatan Tiga.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hutan Setali selepas solat Isyak, malam tadi.-SAHIH
#AstroAWANI #MediaPahang #MohdZalani#mbpahang
