Rakan karib maut bersama, rempuh tiang elektrik
Rakan karib maut bersama, rempuh tiang elektrik
MARAN: Perjalanan dua rakan karib berakhir tragedi apabila mereka maut selepas kereta dinaiki terbabas sebelum merempuh tiang elektrik di Jalan Besar Jengka 12, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa, Mohamad Arif Danial Ramli, 23, yang memandu Perodua Axia disahkan meninggal dunia di lokasi bersama rakannya, Mohamad Ali Mohamed Saat, 31.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kedua-dua mangsa masing-masing berasal dari Felda Jengka 11 dan Felda Jengka 22.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta dinaiki mereka dalam perjalanan dari arah Jengka 13 menghala ke Bandar Pusat Jengka.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar tiang elektrik.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu dan penumpang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati Mohamad Arif Danial bekerja sebagai pemandu jentera berat, manakala Mohamad Ali pula bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah.
Katanya, setakat ini tiada saksi tampil bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran atau hadir ke balai polis berhampiran.-SAHIH
