Duta baharu China utamakan kerjasama strategik dengan Malaysia
Duta baharu China utamakan kerjasama strategik dengan Malaysia
KUALA LUMPUR: Duta Besar China yang baharu ke Malaysia, Yao Wen, berhasrat memperkukuh hubungan strategik kedua-dua negara menerusi kerjasama dalam bidang infrastruktur, perdagangan, kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.
Dalam ucapan bertulis sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Sabtu, Yao berkata keutamaan utamanya adalah menterjemahkan kesepakatan pemimpin kedua-dua negara kepada tindakan konkrit.
Beliau berkata, kedua-dua negara juga perlu mengukuhkan kepercayaan politik bersama serta memantapkan persahabatan yang terjalin sekian lama.
Yao tiba dari Beijing pada malam Sabtu menerusi penerbangan Air China bagi menggantikan Ouyang Yujing sebagai Duta Besar China ke Malaysia.
Ketibaan beliau disambut wakil Jabatan Protokol dan Konsular, Kementerian Luar.
Menurutnya, China kini giat memajukan peremajaan negara menerusi pemodenan gaya China, manakala Malaysia pula mencapai kemajuan strategik berlandaskan visi Malaysia MADANI.
Katanya, kedua-dua negara mempunyai kedudukan strategik untuk saling menyokong usaha pemodenan masing-masing.
Beliau berkata, kepercayaan strategik bersama perlu terus diperdalam bagi memastikan pembangunan hubungan kedua-dua negara kekal mantap dan berjangka panjang.
Yao turut menyatakan komitmen untuk memperkukuh komuniti strategik peringkat tinggi China-Malaysia dengan masa depan yang dikongsi bersama.-SAHIH
#China #Malaysia #YaoWen #HubunganDuaHala
