11 Agensi KDN Turun Padang Dekati Rakyat, Permudahkan Urusan MyKad Dan Ziarah Kasih
Foto : Datuk Seri Saifuddin Nasution tiba di Kampung Kela, Raub hari ini.
11 Agensi KDN Turun Padang Dekati Rakyat, Permudahkan Urusan MyKad Dan Ziarah Kasih
RAUB – Kerajaan terus memperkasa pendekatan turun padang bagi memastikan kebajikan rakyat di peringkat akar umbi sentiasa terpelihara, selaras dengan semangat Malaysia Madani.
Menerusi program kemasyarakatan yang menggabungkan 11 agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN)—termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Imigresen Malaysia—pelbagai perkhidmatan terus dibawa secara langsung kepada penduduk setempat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, antara fokus utama kehadiran agensi kerajaan ini adalah penyediaan perkhidmatan bergerak JPN bagi membantu penduduk yang berdepan masalah kehilangan atau kerosakan MyKad.
“Langkah ini amat penting kerana MyKad bukan sahaja dokumen pengenalan diri, malah menjadi kunci utama kelayakan rakyat untuk menikmati pelbagai inisiatif kerajaan,” katanya.
Menurut beliau, antara inisiatif tersebut termasuklah penyaluran bantuan barangan dapur seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta urusan pembelian barang kawalan bersasar seperti petrol dan diesel yang memerlukan pengesahan dokumen pengenalan diri yang sah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santuni MADANI IPCC di Kampung Kela, di sini hari ini.
Tambah beliau, penduduk kini tidak lagi perlu pergi ke pejabat cawangan yang jauh di bandar Raub kerana kaunter bergerak disediakan terus berhampiran penempatan mereka.
Selain aspek dokumentasi, rombongan kepimpinan dan agensi turut meluangkan masa melaksanakan program Ziarah Kasih dengan melawat golongan kurang berkemampuan, warga emas, serta pesakit di kawasan sekitar untuk mendengar sendiri permasalahan rakyat di samping menyalurkan bantuan asas.-SAHIH
