Pengusaha Chemomoi rayu kerajaan negeri, tuntut peluang usahakan 1,000 hektar tanah
Pengusaha Chemomoi rayu kerajaan negeri, tuntut peluang usahakan 1,000 hektar tanah
BENTONG: Pengusaha tanah di Hutan Simpan Kemasul Tambahan 2, berhampiran FELDA Chemomoi, di sini, merayu kerajaan negeri memberi peluang kepada mereka meneruskan kegiatan perladangan sawit di kawasan diusahakan sejak 2012, membabitkan kira-kira 1,000 hektar tanah.
Mereka mendakwa kawasan berkenaan diusahakan secara berperingkat selepas ditinggalkan susulan kekangan bentuk muka bumi berbukit, berbatu dan sukar dimajukan sebelum ini.
Ketua pengusaha, M Tamilchelvam, 65, berkata mereka bukan menuntut hak milik tanah, sebaliknya berharap kerajaan negeri memberi peluang mengusahakannya melalui kaedah tapping right atau hak mengusahakan kawasan berkenaan, sama seperti peluang diberikan kepada syarikat lain.
Menurutnya, setiap pengusaha hanya mengusahakan kawasan antara tiga hingga empat hektar secara individu, manakala keluasan sehingga lapan hektar membabitkan perkongsian antara ahli keluarga.
“Kami bukan menuntut hak milik tanah. Kami cuma memohon peluang meneruskan usaha ini melalui koperasi ditubuhkan, termasuk bersedia mematuhi segala syarat ditetapkan Jabatan Perhutanan serta membayar royalti kepada kerajaan negeri.
“Kami berharap Menteri Besar dapat mendengar rintihan dan mempertimbangkan permohonan ini kerana kawasan berkenaan menjadi sumber pendapatan keluarga,” katanya ketika ditemui pada perhimpunan aman pengusaha di Chemomoi, di sini.
Beliau berkata, pengusaha mula meneroka kawasan berkenaan pada 2012 selepas mendapati sebahagian tanah berbaki tidak dimajukan oleh pihak RISDA berikutan keadaan muka bumi tidak sesuai untuk pembangunan ladang secara komersial.
Katanya, mereka kemudian mengusahakan tanah secara sendiri dengan menggunakan peralatan asas sebelum membangunkan kawasan perladangan termasuk membina jalan, parit serta melaksanakan kerja penyelenggaraan dan pembajaan mengikut amalan pertanian.
Menurutnya, tanaman sawit ditanam sejak 2012 kini mula mengeluarkan hasil dengan baik selepas pengusaha mengeluarkan modal dan tenaga sendiri selama bertahun-tahun.
“Pendapatan kasar setiap keluarga dianggarkan antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan, itu pun belum ditolak kos upah menuai, pengangkutan, penyelenggaraan ladang dan perbelanjaan lain.
“Kalau kawasan ini diambil pihak ketiga, ke mana kami dan anak cucu hendak pergi? Inilah satu-satunya sumber pendapatan bagi kebanyakan keluarga,” katanya.
Beliau turut mendakwa tiada perbincangan diadakan bersama pengusaha oleh wakil kerajaan negeri atau Jabatan Perhutanan sepanjang tempoh dua minggu kebelakangan ini berhubung perkembangan isu berkenaan.
Tamilchelvam berkata, mereka turut kecewa apabila mendakwa pihak syarikat bersama penguat kuasa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan Jabatan Perhutanan Negeri memasuki kawasan berkenaan bagi menjalankan urusan berkaitan kawasan yang diberikan kepada syarikat itu.
Katanya, pengusaha menghalang laluan masuk melalui kawasan diusahakan mereka kerana tidak bersetuju pihak berkenaan menggunakan laluan terbabit.
Beliau turut mempersoalkan keperluan kehadiran wakil syarikat bersama pihak penguat kuasa ketika kerja pemeriksaan dan penandaan kawasan dilakukan, termasuk kemasukan pihak pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).
Dalam perkembangan sama, beliau berkata Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, turut mengunjungi pengusaha dan menyatakan kesediaan membantu membawa perkara itu ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, beberapa wakil parti politik lain turut hadir memberikan sokongan dan pihaknya mengalu-alukan bantuan mana-mana pihak tanpa mengira latar belakang politik.
Tamilchelvam turut menjelaskan beliau bukan individu seperti dakwaan pihak tertentu mengaitkannya dengan kumpulan gangster dari Klang, sebaliknya anak peneroka FELDA Sungai Kemahal sebelum berpindah ke FELDA Chemomoi pada 1988.
Beliau berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan rayuan mereka bagi membolehkan pengusaha meneruskan kegiatan perladangan secara sah, sekali gus menjamin kelangsungan pendapatan keluarga serta masa depan anak cucu.-SAHIH
#kw #FELDA #Chemomoi #HutanSimpanKemasul #IsuTanah
