Sarawak perkukuh identiti ‘Soul of Borneo’
Sarawak perkukuh identiti ‘Soul of Borneo’
KUCHING: Sarawak mahu terus mengangkat identitinya sebagai ‘Soul of Borneo’ dengan menjadikan kelestarian alam, budaya serta kehidupan masyarakat yang dekat dengan alam sebagai antara kekuatan utama negeri itu.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, hubungan rapat antara manusia dengan alam semula jadi bukan sahaja dapat dilihat menerusi budaya dan tarian masyarakat Sarawak, malah menjadi asas kepada pendekatan pembangunan ekonomi negeri.
Menurutnya, keindahan alam semula jadi termasuk kekayaan flora dan fauna menjadi sebahagian daripada identiti Sarawak yang terus dipelihara seiring pembangunan negeri.
“Budaya kita mencerminkan hubungan antara manusia dengan alam semula jadi dan kita hidup dalam suasana harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala ‘Soul of Borneo’ sempena penganjuran Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) Travel Mart 2026, di sini, malam Rabu.
Abang Johari berkata, pendekatan pembangunan berteraskan kelestarian itu turut diterjemahkan menerusi penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui termasuk hidro, solar dan biojisim.
Katanya, Sarawak turut memberi penekanan terhadap pembangunan sistem pengangkutan awam lebih mesra alam menerusi Transit Aliran Autonomi (ART) yang menggunakan teknologi berasaskan hidrogen.
Pada masa sama, beliau berkata, Sarawak mahu berkongsi keunikan alam semula jadi, budaya dan kepelbagaian makanan negeri itu dengan lebih ramai pelancong dari seluruh dunia.
Menurutnya, usaha berkenaan diperkukuhkan menerusi pelbagai pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang diterima negeri berkenaan.
Antara tarikan utama yang diketengahkan ialah Taman Negara Gunung Mulu, Taman Negara Niah, Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi serta Kuching Delta Geopark.
Pengiktirafan dan keunikan itu diyakini mampu memperkukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang menawarkan pengalaman berteraskan alam semula jadi, budaya dan kelestarian.-SAHIH
Sumber: BERNAMA
#kw: Sarawak, Soul of Borneo, Abang Johari Tun Openg, PATA Travel Mart 2026, pelancongan Sarawak, UNESCO, Gunung Mulu, Taman Negara Niah, Kuching, ART, hidrogen, kelestarian
