59 km jalan utama KL diturap, DBKL sedia lebih RM100 juta
59 km jalan utama KL diturap, DBKL sedia lebih RM100 juta
KUALA LUMPUR: Jalan protokol dan jalan utama sepanjang 59 kilometer (km) di sekitar ibu negara bakal diberi nafas baharu menerusi kerja penurapan secara berperingkat bagi meningkatkan tahap keselamatan serta keselesaan pengguna.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kerja berkenaan membabitkan keluasan kira-kira 1.3 juta meter persegi dengan sasaran meningkatkan jangka hayat turapan jalan sehingga 50 peratus.
Menurutnya, program itu juga bertujuan memastikan kawasan yang terlibat bebas sepenuhnya daripada masalah jalan berlubang.
“Untuk perbelanjaan kali ini, jangka hayat sehingga 50 peratus berbanding tampalan biasa dan mengurangkan kos penyelenggaraan sehingga 40 peratus.
“Kali ini perbelanjaannya besar tetapi kita mahu pastikan perbelanjaan ini berbaloi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja penurapan jalan di ibu negara, malam Rabu.
Hannah berkata, fasa pertama projek berkenaan membabitkan lima laluan dan mula dilaksanakan secara berperingkat bulan ini dengan kos keseluruhan RM61.64 juta.
Katanya, kerja berkenaan dijangka mengambil masa selama 24 minggu untuk disiapkan.
Menurut beliau, fokus Belanjawan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi 2026 adalah kembali kepada perkhidmatan asas dalam memastikan kebajikan dan keselamatan warga kota sentiasa terpelihara.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, DBKL memperuntukkan belanjawan khas melebihi RM100 juta bagi menjayakan keseluruhan projek penurapan berkenaan.
Katanya, fasa kedua pula akan membabitkan laluan sepanjang lebih 15 km dengan kos kira-kira RM43 juta.
Pelaksanaan projek berkenaan dijangka bukan sahaja meningkatkan kualiti permukaan jalan, malah membantu mengurangkan keperluan kerja penyelenggaraan berulang serta memastikan perjalanan pengguna lebih selamat dan selesa.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw: Kuala Lumpur, Hannah Yeoh, DBKL, penurapan jalan, jalan protokol, jalan berlubang, Fadlun Mak Ujud, Wilayah Persekutuan, RM100 juta, keselamatan jalan raya
