Zapin Salor warisan Kelantan hampir hilang ditelan zaman
Zapin Salor warisan Kelantan hampir hilang ditelan zaman
KOTA BHARU: Di sebalik populariti dikir barat dan wayang kulit, Kelantan turut memiliki satu lagi khazanah seni tradisional unik dikenali sebagai Zapin Salor yang kini berdepan risiko semakin dilupakan generasi muda.
Tarian yang berasal dari Kampung Salor, di sini, dipercayai berkembang sejak abad ke-20 dan mempunyai identiti tersendiri menerusi gerak tari, iringan muzik serta dendangan lagu menggunakan dialek Kelantan.
Penyelidik Zapin Salor, Mohd Radzi Yusof berkata, seni berkenaan dibawa ke Kampung Salor oleh Sheikh Muhammad sebelum berkembang dalam kalangan penduduk setempat dan diwariskan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.
Menurutnya, antara cabaran utama dalam mempertahankan Zapin Salor ialah kekurangan dokumentasi selain ia semakin jarang dipersembahkan.
Katanya, keadaan itu menyebabkan sebahagian ragam tari hanya kekal dalam ingatan beberapa individu yang kini semakin berusia.
“Kalau di Johor menggunakan teknik pacak kaki, tetapi Zapin Salor mempunyai ragam pacaknya sendiri. Kebanyakan tapak kaki tidak begitu nampak dan gerakannya berbeza,” katanya.
Sementara itu, penari Zapin Salor, Mohammad Hafiz Amirun Md Salleh berkata, keistimewaan tarian itu bukan hanya terletak pada kelembutan gerak tari, malah mesej yang disampaikan menerusi lirik lagunya.
Menurutnya, lirik dalam dialek Kelantan sarat dengan unsur dakwah, nasihat dan nilai murni sekali gus membezakan Zapin Salor daripada zapin di negeri lain.
Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan, Rohainiza Abdullah berkata, usaha memelihara seni tradisional itu tidak boleh dipikul penggiat budaya semata-mata.
Katanya, JKKN giat memperluaskan bengkel, kelas bimbingan serta latihan di sekolah dan institusi pengajian tinggi bagi memastikan Zapin Salor terus dipelajari tanpa mengira peringkat umur.
Beliau berkata, lebih banyak platform persembahan turut disediakan bagi memperkenalkan tarian itu kepada masyarakat.
“Zapin Salor mempunyai potensi besar sebagai produk pelancongan budaya kerana keunikan gerak tari, penggunaan dialek Kelantan dalam lagu serta sejarahnya yang tersendiri,” katanya.
#kw: Zapin Salor, Kelantan, Kampung Salor, seni tradisional, warisan budaya, JKKN Kelantan, Rohainiza Abdullah, Mohd Radzi Yusof, Mohammad Hafiz Amirun Md Salleh, pelancongan budaya, Kota Bharu
