Hampir 100,000 kandungan penipuan diturunkan dalam tujuh bulan
Hampir 100,000 kandungan penipuan diturunkan dalam tujuh bulan
KUALA LUMPUR: Hampir 100,000 kandungan berunsur penipuan dalam talian diturunkan daripada platform media sosial dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, menunjukkan ancaman scam terus berada pada tahap membimbangkan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, setakat 31 Julai lalu, sebanyak 99,693 kandungan berunsur penipuan diturunkan berbanding 98,503 kandungan bagi sepanjang 2025.
Menurutnya, Kod Pengurangan Risiko di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 meletakkan tanggungjawab kepada platform media sosial untuk mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap kandungan sedemikian yang dimuat naik menerusi platform masing-masing.
Beliau berkata, platform media sosial kini masih diberikan tempoh kelonggaran sehingga hujung tahun ini bagi memahami secara mendalam keperluan kod berkenaan sebelum melaksanakan tanggungjawab ditetapkan sepenuhnya.
“Kita masih berada dalam ‘grace period’ untuk memastikan tanggungjawab ini dilaksanakan oleh platform.
“Kami berharap apabila platform melaksanakan tanggungjawab ini secara sempurna, kita dapat melihat kandungan bersifat penipuan dalam talian menurun,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran SPX Express EV Fleet.
Teo berkata, tempoh kelonggaran itu penting bagi membolehkan penyedia platform memahami tanggungjawab masing-masing serta menyediakan mekanisme sesuai untuk memerangi kandungan berunsur penipuan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan buat masa ini tidak melihat keperluan untuk menggubal akta baharu berkaitan keselamatan dalam talian.
Menurutnya, undang-undang sedia ada termasuk pindaan yang sudah dilaksanakan sebelum ini perlu diberi ruang untuk berkuat kuasa dan dinilai keberkesanannya terlebih dahulu.
“Tidak perlu tergesa-gesa menggubal akta baharu. Biarlah undang-undang ini berkuat kuasa dan kita tengok kesannya,” katanya.
Beliau berharap pelaksanaan Kod Pengurangan Risiko dapat meningkatkan akauntabiliti penyedia platform sekali gus mengurangkan kandungan penipuan yang boleh menyebabkan pengguna menjadi mangsa.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw: Teo Nie Ching, penipuan dalam talian, scam, Kod Pengurangan Risiko, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, media sosial, MCMC, keselamatan siber, kandungan penipuan, SPX Express
