Dendam nombor ramalan, wanita melecur 50 peratus dibakar
Dendam nombor ramalan, wanita melecur 50 peratus dibakar
KUALA LUMPUR: Dendam peribadi dipercayai berkaitan nombor ramalan menjadi motif seorang lelaki bertindak nekad membakar wanita di sebuah premis nombor ramalan di Kepong, 9 Ogos lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek lelaki tempatan berusia 59 tahun ditahan semalam dan permohonan reman dibuat bagi membantu siasatan.
Menurutnya, mangsa berusia 62 tahun yang bekerja sebagai penjaga kaunter premis berkenaan mengalami kecederaan melecur kira-kira 50 peratus pada badan dan masih tidak sedarkan diri.
“Kita percaya setakat ini motif yang dapat dikenal pasti adalah dendam peribadi.
“Kes membabitkan perbuatan membakar orang jarang berlaku dan ia satu bentuk keganasan yang amat serius. Kita berjaya menahan seorang suspek,” katanya.
Fadil berkata, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan dalam kejadian itu termasuk bekas berisi bahan bakar serta sebuah basikal.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Dalam perkembangan lain, Polis Kuala Lumpur merampas hampir 80 kilogram methamphetamine dan 30 kilogram ekstasi dalam serbuan di Brickfields pada 9 Ogos lalu.
Katanya, keseluruhan rampasan dan sitaan dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) itu dianggarkan bernilai kira-kira RM8.3 juta.
Operasi berkenaan turut membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing berusia 36 tahun.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai warga Vietnam yang memiliki pasport Kanada, namun polis masih menjalankan semakan lanjut bagi mengesahkan kewarganegaraannya.
Suspek direman selama 11 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#DendamPeribadi #NomborRamalan #Kepong #CubaanMembunuh #PolisKualaLumpur #FadilMarsus #Jenayah #MangsaDibakar #Seksyen307 #JSJN #Dadah #Methamphetamine #Ekstasi #Brickfields #AktaDadahBerbahaya #KualaLumpur
